Friday, November 7, 2008

page 8

91. Qadha' Solat Setelah Bertaubat
Soalan:
Apakah dosa bagi orang yang tidak sembahyang untuk sekian lamanya? Bagaimanakah jika seseorang itu ingin mengantikan solatnya itu setelah ia bertaubat?
Syazrul, Shah Alam
Jawapan:
Jika meninggalkan solat dengan sengaja maka ia tidak wajib mengqadhanya. Ini menurut pendapat yang paling shahih di kalangan ulama. Kerana meninggalkan solat dengan sengaja pada hakikatnya telahpun terkeluar dari batasan Islam dan menyebabkan ia boleh digolongkan sebagai orang-orang kafir. Orang-orang kafir pula tidak diwajibkan mengqadha solat di masa-masa kekafirannya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Yang membezakan seorang itu mukmin dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW tidak memerintahkan kepada orang-orang kafir sebaik sahaja mereka memeluk Islam untuk mengqadha apa-apa yang telah mereka tinggalkan (dari solat). Demikian pula setiap para sahabat mereka tidak memerintahkan kepada orang-orang murtad mengqadha solat. Bagaimanapun sekiranya seseorang itu mengqadhanya kerana ia telah meninggalkan solat dengan sengaja, namun ia tidak ingkar terhadap wajibnya solat, maka ia tidak apa-apa (harus hukumnya).


92. Aurat Abang Ipar dengan Adik Ipar
Soalan:
Bagaimanakah aurat diantara abang ipar dan adik ipar?

Hashimah, KL
Jawapan:
Hubungan abang ipar dengan adik ipar hendaklah dijaga sesuai dengan tuntutan Islam, kerana hubungan keduanya tidak boleh kahwin hanya bersifat sementara. Jika abang ipar tersebut bercerai dengan isterinya maka ia boleh kahwin dengan adik iparnya tersebut. Jadi jelaslah keduanya bukan muhrim dan perlu menjaga batas-batas aurat yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada disebutkan; dari Uqbah bin Amir katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: "Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita". Lalu seorang sahabat Anshar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?'. Rasulullah SAW menjawab: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasai)
Dengan hadis yang diterangkan Rasulullah ini jelaslah bahawa hubungan antara ipar ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak melebihi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW, kerana maut yang diungkapkan Rasulullah dalam hadisnya tersebut merupakan fitnah yang sangat besar, jika kita mengabaikannya.


93. Fadhilat Basmalah
Soalan:
Assalamualaikum...
Seseorang telah mengajar saya supaya mengamalkan membaca Bismillahirrahmanirrahim sebanyak 201 kali selepas sembahyang lima waktu...Insya Allah, Allah akan mengurniakan ganjaran yang besar serta memakbulkan segala permintaan kita. Apakah ini terdapat dalam amalan sunnah Rasullullah?

Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Membaca bismillah dalam segala pekerjaan memiliki fadhilat yang paling besar, kerana kita mendahulukan sesuatu itu dengan Asma dan Kebesaran Allah SWT. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnaya: "Tiada seorang hambapun mengucapkana "Bismillahirrahmanirrahim" kecuali Allah SWT perintahkan kepada para malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku induknya empat ratus kebaikan".

Banyak sekali khasiat dan fadhilat Basmallah ini yang telah diamalkan oleh para Salafussoleh. Sehingga diantara mereka ada merumuskan jumlah tertentu dengan keutamaan tertentu dari bacaan Basmalah tersebut. Diantaranya seperti yang puan amalkan itu. Wallahu A'lam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang fadhilat atau keutamaan Basmallah dan ayat-ayat atau surah-surah Al Quran.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa, DN 001 dan DN 002
2. Amalan Hikmat dan Rahsia dari Al Quran DN 087


94. Batas Aurat Wanita
Soalan:
Bolehkah ustaz terangkan kepada saya beberapa perkara seperti berikut: 1. Aurat saya terhadap suami kepada emak saudara saya.
2. Aurat saya terhadap bapa saudara sebelah suami saya.
3. Bolehkah saya menyambut salam mereka(yang disebut di atas) dengan tujuan sebagai memberi penghormatan. Untuk pengetahuan ustaz mereka sudah berusia dan telah terlebih dahulu menghulurkan salam kepada saya. Dan adakah batal air sembahyang saya? Saya harap ustaz dapat memberi penjelasan. Sekian, terima kasih.
Auziera, KL
Jawapan:
Untuk menjawab batas aurat seorang wanita ini maka cukuplah kami utarakan maksud surah An Nuur ayat 31, kerana didalamnya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita yang beriman "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada:
suami mereka,
ayah mereka,
ayah suami mereka,
putera-putera mereka,
putera-putera suami mereka,
saudara-saudara lelaki mereka
putera-putera saudara lelaki mereka,
putera-putera saudara perempuan mereka,
wanita-wanita Islam,
hamba-hamba yang mereka miliki,
pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita,
anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".


95. Amalan Membaca Yasin
Soalan:
Assalamualaikum wr. wb.
Apakah benar amalan membaca yasin 3 kali di malam nisfu syaaban merupakan bid'ah kerana tiada nas. Yang ada cuma hadis daif?
Abdul Hanan, KL
Jawapan:
Menurut Ibnu Manzur dalam bukunya "Lisan al Arab" bid'ah bermaksud mengada-adakan sesuatu yang baru atau rekaan terhadap sesuatu yang baru yang tidak ada contoh sebelumnya. Jadi jelaslah bahawa bid'ah itu adalah sesuatu yang diada-adakan tanpa ada asas sebelumnya dan contoh yang boleh diikuti.

Menurut Al Jawhari menegaskan dalam kitabnya mengatakan; Bid'ah ialah mengada-adakan sesuatu di dalam agama selepas lengkapnya agama itu. Kemudian Al Allamah Asy Syanawi mendefinisikan bid'ah sebagai sesuatu yang diada-adakan yang bercanggah dengan kebenaran yang diterima daripada Rasulullah SAW dan ijma. Ia merangkumi rekaan sesuatu yang tidak diizinkan oleh syarak baik berbentuk perkataan, perbuatan secara sarih, isyarat dan tidak melibatkan perkara-perkara adat. Berdasarkan difenisi ini bid'ah merangkumi sesuatu yang dikeji oleh syarak dan dilarang olehnya samada ia diadakan sebagai agama Allah dan syariat ataupun tidak.

Berkaitan tentang membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dimalam nisfu Syaaban antara lain; sesungguhnya membaca Al Quran disunatkan dan pembacanya mendapat pahala. Perkara ini tidak pernah dipertikaikan oleh seseorangpun dari kalangan ahli ilmu. Sangat banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan membaca Al Quran antaralain; "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya sepuluh pahala untuk setiap huruf yang dibaca itu, saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, Lam, satu huruf, dan Mim satu huruf". Namun jika mengkhususkannya pada hari-hari tertentu dan masa-masa tertentu setengah ahli mengatakannya bid'ah.

Untuk lebih jelas lagi kami terangkan bahawa bid'ah itu dapat juga dibahagikan kepada bid'ah hakikiah dan bid'ah Idafiah. Bid'ah hakikiah ialah bid'ah yang tidak mempunyai asas langsung dari Al Kitab, Sunnah dan ijmak ulama. Bid'ah idafah atau sandaran ialah bid'ah yang mempunyai sandaran dari Al Kitab, As sunnah dan ijma ulama tetapi masa dan teknik pelaksanaannya tidak berdasarkan kepada Al Kitab atau as sunnah. Mungkin berdasarkan pengertian ini mereka menetapkan perkara di atas sebagai bid'ah. Kerana di dalam amalan itu mengandungi dua makna. Pertama dia merupakan sunat, kedua ia merupakan bid'ah kerana menetapkan masa-masa tertentu ataupun jumlah-jumlah tertentu.
Sila rujuk buku:
1. Khilafiah, Bid'ah dan Maslahah Umum DN 271


96. Ketaqwaan di Bulan Ramadhan
Soalan:
Apakah persediaan dan bekalan yang diperlukan untuk memasuki "Universiti Ramadan" agar berjaya memperolehi "Ijazah Taqwa"?
Abdul Hanan, KL
Jawapan:
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, bahkan ia merupakan waktu (universiti) untuk membina jiwa dan raga dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak hadis dan ayat Al Quran yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini diantaranya: "Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan".(Riwayat Bukhari dan Muslim) Banyakkan amalan-amalan sunat dan laksanakan amalan wajib dengan sempurna. Dalam sebuah hadis ada disebutkan tentang diantara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan agar memperolehi ketaqwaan. Namun sebelum melaksanakan semua amalan itu hendaklah mempersiapkan jiwa dengan rasa keikhlasan dan beramal kerana Allah semata, bukan kerana riya dan ingin pujian manusia. Jika ini yang terjadi maka rugilah dan punahlah segala amalan yang kita kerjakan nanti.

Diantara amalan yang dianjurkan Rasulullah tersebut antara lain: Solat tarawih dan solat-solat sunat yang lain, bantu membantu diantara sesama Islam dengan amalan sedekah dan sebagainya, memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa terutamanya orang-orang miskin. Banyak bertahlil, banyakkan memohon keampunan dengan bertaubat dan beristighfar, memohon memperoleh syurga Allah di akhirat kelak dan mohon perlindungan dari api neraka. Wallahu A'lam
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054


97. Nama-nama yang Baik.
Soalan:
Bolehkah ustaz senaraikan nama-nama yang paling baik di sisi islam lelaki atau perempuan berserta maknanya sekali. Dan apakah makna Nur Fatihah, Nur Hidayah, Muhammad Firdaus dan Muhammad Hakim?
Auziera, KL
Jawapan:
Nur Fatihah maksudnya "Cahaya Pembukaan atau Cahaya Kemenangan".
Nur Hidayah maksudnya "Cahaya Petunjuk".
Muhammad Firdaus - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Firdaus ertinya: nama syurga.
Muhammad Hakim - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Hakim ertinya: Bijaksana.

Jika anda ingin senarai nama-nama anak lelaki dan anak perempuan dalam Islam bolehlah rujuk dalam buku Amalan mengandung & Setelah Bersalin serta Panduan menamakan Bayi DN 118

^ Kembali ke atas ^

98. Mempercepat Cari Jodoh.
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan jodoh? Ayat-ayat apakah yang perlu saya amalkan?

Anilzam Damha, KL
Jawapan:
Dalam usaha untuk mempercepat mencari pasangan hidup hendaklah kita banyak berdoa dan bermohon kepada Allah agar kita sentiasa memperoleh berkah dan rahmat-Nya. Kerjakan segala yang diperintahkan agama dan tinggalkan segala yang dilarang oleh Islam, jika amalan-amalan yang mulia ini kita laksanakan, maka Insya Allah akan ditentukan Allah dengan suatu yang lebih baik nantinya. Mungkin saja keterlambatan itu kerana ada hikmah yang terkandung didalamnya yang kita sendiri tidak dapat untuk menterjemahkannya. Mungkin juga terlambatnya jodoh kita itu kerana kelalaian kita dalam mengingati Allah SWT sehingga Allah mengingatkan kita dengan cara melambatkan jodoh tersebut, akhirnya kita sedar bahawa Allah lah tempat kita bermohon. Berdoalah setiap selepas solat lima waktu agar anda memperoleh pasangan yang baik dan menjalankan agama Islam dengan cara yang sempurna.

Dalam salah satu petua yang diungkapkan oleh seorang penyusun buku amalan menjelaskan bahawa untuk mempecepat memperoleh pasangan atau jodoh hendaklah sering mengamalkan membaca "Surah Thaha". Tapi yang penting doa yang kita ingin pohonkan itu kita sendiri mengetahui maksudnya, oleh sebab itu saya anjurkan cukuplah berdoa dengan bahasa yang anda fahami selepas mengerjakan solat lima waktu.


99. Batas Aurat
Soalan:
Dari pemerhatian saya, ramai daripada kalangan kita yang tidak mengendahkan larangan bersalaman tanpa alas dengan yang bukan muhrim. Apa yang menghairankan...mereka yang melakukan perkara ini adalah mereke yang warak dan alim..contohnya ustaz2 & imam2. Yang paling ketara ialah bersalam dengan ipar, anak saudara sebelah pasangan dan sepupu. Mungkin kerana dirasakan seperti keluarga dan tanpa niat.
Bolehkah kita menerima hakikat ini dan adakah ianya dibenarkan?
Begitu juga dengan larangan menutup aurat yang dipandang ringan di kalangan ipar dan saudara-mara. Harap dapat penjelasan daripada Darul Numan.

Fatimah, KL
Jawapan:
Dalam Islam telah menggariskan ketentuan tentang batas aurat ini, tidak kiralah siapa orang itu, jika ia bertentangan dengan ketentuan Islam maka hukumnya tetap berdosa. Dalam Surah An Nur ayat 31 ada dijelaskan tentang muhrim yang membolehkan mereka menampakkan perhiasan mereka. Untuk lebih jelas sila rujuk surah An Nur ayat 31 ataupun rujuk soalan yang telah lalu yang telah ditanya.

Mengenai menutup aurat dengan ipar telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa ipar itu adalah maut. Maksud maut disini adalah bahaya yang sangat besar yang akan terjadi jika pergaulan di antara mereka tidak diatur sesuai dengan tuntunan Islam.


100. Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain
Soalan:
Bolehkah seseorang yang sakit (tidak boleh berjalan) mengerjakan haji dengan cara mengupah seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihaknya?

Fauziah, KL
Jawapan:
Orang yang lemah keadaannya seperti sudah terlalu tua atau uzur sakit yang berat dan tidak dapat pergi sendiri untuk menyempurnakan fardhu Haji, maka diharuskan ia menyuruh orang lain mengerjakan Haji bagi pihak dirinya, samada dengan sukarela ataupun dibayar upahnya.

Begitu juga jika orang itu meninggal dunia tetapi belum dapat menunaikan fardhu Haji semasa hidupnya, maka harus juga hukumnya bagi orang yang hidup mengerjakan Haji atasnya, samada dengan sukarela atau diupah.


1 comment:

tedi the vidies said...

dimana allah mencatat jodoh umat islam