Friday, November 7, 2008

page 10

101. Roh Keluar Dari Jasad Ketika Tidur
Soalan:
Semasa tidur adakah benar roh telah keluar daripada jasad seseorang itu ?
Fauziah ,KL
Jawapan:
Di dalam ayat Al Quran ada dijelaskan tentang kedudukan roh ketika tidur ini, dan memang Allah SWT memegang roh orang yang mati dan ketika tidurnya, dan melepaskan kembali sampai waktu yang ditentukan.

Firman Allah SWT maksudnya: "Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan memegang jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir". (Az Zumar ayat 42)


102. Makna Insyirah
Soalan:
1) Apakah makna perkataan / nama Insyirah?
2) Bagaimanakah caranya untuk mengerjakan solat jamak & qasar?

Mai Aniza Aris ,KL
Jawapan:
1) Makna nama Insyirah iaitu; KEGEMBIRAAN atau LAPANG HATI.

2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini


103. Membuang Bulu Roma
Soalan:
Apakah hukumnya membuang bulu roma yang menyerupai lelaki?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan:
Allah telah menjadikan sesuatu dalam diri kita dengan lengkap dan sempurna serta mengandungi hikmah yang besar setiap ciptaan-Nya itu. Jika bulu roma yang anda maksudkan itu dapat menimbulkan mudarat pada diri anda maka dibolehkan untuk mencukurnya demi menjaga kesihatan. Namun jika pencukuran itu dilakukan atas niat lain, seperti ingin menunjuk betis kita kepada orang lain atau kepada yang bukan muhrim, maka jelaslah hukumnya menjadi haram kerana betis itu merupakan aurat bagi seorang wanita.


104. Membantah Kedua Ibu Bapa
Soalan:
Berdosakah seorang anak yang membantah pendapat bapanya yang bertentangan dengan hukum
agama / hukum alam?
Mai Aniza Aris, KL
Jawapan:
Islam memerintahkan agar seorang anak menghormati kedua ibu bapanya, walaupun keduanya bukan beragama Islam. Apatah lagi jika keduanya beragama Islam, namun jika keduanya membantah tentang sesuatu ketentuan agama maka jelaskan kepadanya dengan cara yang baik dan tidak menyinggung atau menyakiti perasaan keduanya. Gunakan cara yang berhemah dan lemah lembut serta bahasa yang baik dalam menjelaskan sesuatu persoalan terhadap kedua ibu bapa. Sesungguhnya keredhaan Allah tergantung keredhaan ibu bapa terhadap anaknya.
Sila rujuk buku-buku kategori:
1. Kekeluargaan
2. Pelajar & Remaja


105. Membentuk Jatidiri
Soalan:
Bagaimanakah untuk membentuk jatidiri diperisai oleh iman dan taqwa dalam menempuh kegawatan kehidupan masa kini?
Hamba Allah, Serdang
Jawapan:
Keimanan itu tumbuh dengan menjalankan segala ajaran yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Betapapun usaha kita untuk menjadi orang yang beriman jika tidak disertakan dengan ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah Allah, maka pengakuan beriman itu hanya sekadar dibibir sahaja. Jadi keimanan itu diperolehi melalui keteguhan hati dan istiqamah dalam menjalan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jika semua ketentuan tersebut dapat kita laksanakan maka barulah kita sampai ke tahap insan yang bertaqwa.

Cabaran hidup masa kini memang sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup kita jika kita tidak membentengi diri dengan jalan mengendalikan hawa nafsu. Hawa nafsu membawa seseorang lebih cinta kepada dunia dan melupakan kepada kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Jadi sumber matair yang perlu anda gali adalah melengkapi diri dengan ilmu-ilmu agama Islam, dengan sendirinya hawa nafsu dapat dikendalikan dengan sempurna dan baik.
Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku:
1. Strategi Musuh Menentang Islam DN 170


106. Perasaan Seorang Janda
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk menepis tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang memegang status janda/duda?

Umi ,KL
Jawapan:
Anggapan buruk masyarakat terhadap seorang janda yang beriman merupakan dosa. Walaupun begitu kita hendaklah menghadapi masalah ini sebagai suatu cobaan daripada Allah SWT agar kita sentiasa pada garis yang benar. Cara yang mudah untuk menepis tanggapan buruk itu adalah dengan banyak berdoa kepada Allah SWT setelah selesai solat, serta tunjukkan keperibadian seorang muslimah yang solehah dengan berpakaian yang dianjurkan dalam Islam, mengatur pergaulan dengan baik, sering menghadiri majlis ilmu yang tidak menimbulkan fitnah, serta buatlah sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama Islam.

Biarkan anggapan buruk itu timbul di hati setengah insan yang berpenyakit disekeliling kita asalkan kita tetap pada jalan yang benar. Kerana membalas anggapan buruk dengan menjelaskan kepada mereka tentang diri kita kadangkala hanya sia-sia semata. Cukuplah Allah tempat kita mengadu dan menyerahkan segalanya, kerana dengan cara ini saja hati kita menjadi aman dan tenteram, insya Allah.


107. Mencuci Pakaian Solat dalam Mesin Pembasuh.
Soalan:

1) Apakah sah / boleh dibawa bersembahyang pakaian yang dibasuh dengan washing machine auto/semi auto?
2) Bagaimanakah caranya mengerjakan solat jamak & qasar serta serta cantuman keduanya?

Arman, KL
Jawapan:
1) Boleh mencuci pakaian solat dalam mesin pembasuh jika pakaian itu tidak terkena najis atau tidak bercampur dengan pakaian lain yang terkena najis yang menyebabkan ia bercampur baur dalam mesin tersebut. Proses pencucian dalam mesin basuh juga mengalirkan air dan bahkan melalui proses pembilasan sehingga pakaian solat itu menjadi bersih.

Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin , 1 X dibilas dengan air sabun dan 2 X dibilas dengan air biasa, sudah memadai.

2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini


108. Menyimpan Aib Sendiri.
Soalan:
Bagaimanakah pendapat ustaz tentang seorang gadis telah diperkosa berbagai-bagai masalah akan timbul. Terutama apabila ada lelaki yang ingin melamarnya. Pada pandangan ustaz adakah patut si gadis ini memberitahu atau menceritakan segala peristiwa silam yang telah menimpa dirinya atau menyimpan sahaja rahsia itu sehingga ke akhir hayatnya?
Yati ,KL
Jawapan:
Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri, bahkan kadangkala pengalaman yang dihadapinya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa. Dalam hadis Rasulullah SAW juga ada diterangkan agar seseorang itu menutup aib orang lain jika ia mengetahuinya agar tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar. Demikian juga tentang aib diri sendiri adalah lebih baik menutup aib tersebut atau menyimpan rahsia itu hingga ke akhir hayat, kerana perkara itu lebih baik untuk diri anda dan untuk pasangan yang melamar anda. Aib yang tidak diketahui oleh orang lain itu bererti telah dilindungi atau ditutupi oleh Allah, maka tidaklah baik jika kita pula cuba membuka sesuatu yang telah ditutup oleh Allah agar orang lain mengetahuinya. Sebaliknya kita bersyukur kepada-Nya kerana telah menutup aib atau pengalaman buruk masa silam kehidupan kita. Wallahu A'lam.


109. Melakukan Onani
Soalan:
Apa hukumnya sekiranya seseorang lelaki itu mengeluarkan air maninya dengan sengaja (Melancap). Sedangkan ia masih belum beristeri. Godaan persekitaran adalah amat berat sekali untuk ditanggung oleh kami. Jadi kami merasakan daripada melakukan perzinaan adalah lebih baik kami memuaskan nafsu kami dengan sendiri. Tolong berikan jawapan kepada saya dengan segera?
Abdul Wahab ,KL
Jawapan:
Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya sendiri termasuk suatu
perkara yang merosak unsur etika dan adab. Para ulama sendiri berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain
mengatakan haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya
makruh.

Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan mereka adalah bahawa
Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak
isteri. Dalam ayat Al Quran dijelaskan:
"Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka
miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain
daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas". (Al Mukminun ayat 5 - 7)

Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram dalam suatu keadaan dan
wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi. Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang
dikhuatirkan akan berbuat zina maka wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti
kaedah "Jika berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".

Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' . Dan diantara yang berpendapat mubah ialah Ibnu
Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.

Cara yang paling baik untuk bertaubat dari pekerjaan "melampaui batas" ini dengan banyak berpuasa, berzikir dan
jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya. Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak
mampu untuk berkahwin maka berpuasalah agar syahwat kita terpelihara.


page 8

91. Qadha' Solat Setelah Bertaubat
Soalan:
Apakah dosa bagi orang yang tidak sembahyang untuk sekian lamanya? Bagaimanakah jika seseorang itu ingin mengantikan solatnya itu setelah ia bertaubat?
Syazrul, Shah Alam
Jawapan:
Jika meninggalkan solat dengan sengaja maka ia tidak wajib mengqadhanya. Ini menurut pendapat yang paling shahih di kalangan ulama. Kerana meninggalkan solat dengan sengaja pada hakikatnya telahpun terkeluar dari batasan Islam dan menyebabkan ia boleh digolongkan sebagai orang-orang kafir. Orang-orang kafir pula tidak diwajibkan mengqadha solat di masa-masa kekafirannya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Yang membezakan seorang itu mukmin dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW tidak memerintahkan kepada orang-orang kafir sebaik sahaja mereka memeluk Islam untuk mengqadha apa-apa yang telah mereka tinggalkan (dari solat). Demikian pula setiap para sahabat mereka tidak memerintahkan kepada orang-orang murtad mengqadha solat. Bagaimanapun sekiranya seseorang itu mengqadhanya kerana ia telah meninggalkan solat dengan sengaja, namun ia tidak ingkar terhadap wajibnya solat, maka ia tidak apa-apa (harus hukumnya).


92. Aurat Abang Ipar dengan Adik Ipar
Soalan:
Bagaimanakah aurat diantara abang ipar dan adik ipar?

Hashimah, KL
Jawapan:
Hubungan abang ipar dengan adik ipar hendaklah dijaga sesuai dengan tuntutan Islam, kerana hubungan keduanya tidak boleh kahwin hanya bersifat sementara. Jika abang ipar tersebut bercerai dengan isterinya maka ia boleh kahwin dengan adik iparnya tersebut. Jadi jelaslah keduanya bukan muhrim dan perlu menjaga batas-batas aurat yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada disebutkan; dari Uqbah bin Amir katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: "Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita". Lalu seorang sahabat Anshar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?'. Rasulullah SAW menjawab: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasai)
Dengan hadis yang diterangkan Rasulullah ini jelaslah bahawa hubungan antara ipar ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak melebihi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW, kerana maut yang diungkapkan Rasulullah dalam hadisnya tersebut merupakan fitnah yang sangat besar, jika kita mengabaikannya.


93. Fadhilat Basmalah
Soalan:
Assalamualaikum...
Seseorang telah mengajar saya supaya mengamalkan membaca Bismillahirrahmanirrahim sebanyak 201 kali selepas sembahyang lima waktu...Insya Allah, Allah akan mengurniakan ganjaran yang besar serta memakbulkan segala permintaan kita. Apakah ini terdapat dalam amalan sunnah Rasullullah?

Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Membaca bismillah dalam segala pekerjaan memiliki fadhilat yang paling besar, kerana kita mendahulukan sesuatu itu dengan Asma dan Kebesaran Allah SWT. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnaya: "Tiada seorang hambapun mengucapkana "Bismillahirrahmanirrahim" kecuali Allah SWT perintahkan kepada para malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku induknya empat ratus kebaikan".

Banyak sekali khasiat dan fadhilat Basmallah ini yang telah diamalkan oleh para Salafussoleh. Sehingga diantara mereka ada merumuskan jumlah tertentu dengan keutamaan tertentu dari bacaan Basmalah tersebut. Diantaranya seperti yang puan amalkan itu. Wallahu A'lam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang fadhilat atau keutamaan Basmallah dan ayat-ayat atau surah-surah Al Quran.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Hajat Untuk Rawatan, Pelindung dan Doa, DN 001 dan DN 002
2. Amalan Hikmat dan Rahsia dari Al Quran DN 087


94. Batas Aurat Wanita
Soalan:
Bolehkah ustaz terangkan kepada saya beberapa perkara seperti berikut: 1. Aurat saya terhadap suami kepada emak saudara saya.
2. Aurat saya terhadap bapa saudara sebelah suami saya.
3. Bolehkah saya menyambut salam mereka(yang disebut di atas) dengan tujuan sebagai memberi penghormatan. Untuk pengetahuan ustaz mereka sudah berusia dan telah terlebih dahulu menghulurkan salam kepada saya. Dan adakah batal air sembahyang saya? Saya harap ustaz dapat memberi penjelasan. Sekian, terima kasih.
Auziera, KL
Jawapan:
Untuk menjawab batas aurat seorang wanita ini maka cukuplah kami utarakan maksud surah An Nuur ayat 31, kerana didalamnya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita yang beriman "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada:
suami mereka,
ayah mereka,
ayah suami mereka,
putera-putera mereka,
putera-putera suami mereka,
saudara-saudara lelaki mereka
putera-putera saudara lelaki mereka,
putera-putera saudara perempuan mereka,
wanita-wanita Islam,
hamba-hamba yang mereka miliki,
pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita,
anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".


95. Amalan Membaca Yasin
Soalan:
Assalamualaikum wr. wb.
Apakah benar amalan membaca yasin 3 kali di malam nisfu syaaban merupakan bid'ah kerana tiada nas. Yang ada cuma hadis daif?
Abdul Hanan, KL
Jawapan:
Menurut Ibnu Manzur dalam bukunya "Lisan al Arab" bid'ah bermaksud mengada-adakan sesuatu yang baru atau rekaan terhadap sesuatu yang baru yang tidak ada contoh sebelumnya. Jadi jelaslah bahawa bid'ah itu adalah sesuatu yang diada-adakan tanpa ada asas sebelumnya dan contoh yang boleh diikuti.

Menurut Al Jawhari menegaskan dalam kitabnya mengatakan; Bid'ah ialah mengada-adakan sesuatu di dalam agama selepas lengkapnya agama itu. Kemudian Al Allamah Asy Syanawi mendefinisikan bid'ah sebagai sesuatu yang diada-adakan yang bercanggah dengan kebenaran yang diterima daripada Rasulullah SAW dan ijma. Ia merangkumi rekaan sesuatu yang tidak diizinkan oleh syarak baik berbentuk perkataan, perbuatan secara sarih, isyarat dan tidak melibatkan perkara-perkara adat. Berdasarkan difenisi ini bid'ah merangkumi sesuatu yang dikeji oleh syarak dan dilarang olehnya samada ia diadakan sebagai agama Allah dan syariat ataupun tidak.

Berkaitan tentang membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dimalam nisfu Syaaban antara lain; sesungguhnya membaca Al Quran disunatkan dan pembacanya mendapat pahala. Perkara ini tidak pernah dipertikaikan oleh seseorangpun dari kalangan ahli ilmu. Sangat banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan membaca Al Quran antaralain; "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya sepuluh pahala untuk setiap huruf yang dibaca itu, saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, Lam, satu huruf, dan Mim satu huruf". Namun jika mengkhususkannya pada hari-hari tertentu dan masa-masa tertentu setengah ahli mengatakannya bid'ah.

Untuk lebih jelas lagi kami terangkan bahawa bid'ah itu dapat juga dibahagikan kepada bid'ah hakikiah dan bid'ah Idafiah. Bid'ah hakikiah ialah bid'ah yang tidak mempunyai asas langsung dari Al Kitab, Sunnah dan ijmak ulama. Bid'ah idafah atau sandaran ialah bid'ah yang mempunyai sandaran dari Al Kitab, As sunnah dan ijma ulama tetapi masa dan teknik pelaksanaannya tidak berdasarkan kepada Al Kitab atau as sunnah. Mungkin berdasarkan pengertian ini mereka menetapkan perkara di atas sebagai bid'ah. Kerana di dalam amalan itu mengandungi dua makna. Pertama dia merupakan sunat, kedua ia merupakan bid'ah kerana menetapkan masa-masa tertentu ataupun jumlah-jumlah tertentu.
Sila rujuk buku:
1. Khilafiah, Bid'ah dan Maslahah Umum DN 271


96. Ketaqwaan di Bulan Ramadhan
Soalan:
Apakah persediaan dan bekalan yang diperlukan untuk memasuki "Universiti Ramadan" agar berjaya memperolehi "Ijazah Taqwa"?
Abdul Hanan, KL
Jawapan:
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, bahkan ia merupakan waktu (universiti) untuk membina jiwa dan raga dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak hadis dan ayat Al Quran yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini diantaranya: "Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan".(Riwayat Bukhari dan Muslim) Banyakkan amalan-amalan sunat dan laksanakan amalan wajib dengan sempurna. Dalam sebuah hadis ada disebutkan tentang diantara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan agar memperolehi ketaqwaan. Namun sebelum melaksanakan semua amalan itu hendaklah mempersiapkan jiwa dengan rasa keikhlasan dan beramal kerana Allah semata, bukan kerana riya dan ingin pujian manusia. Jika ini yang terjadi maka rugilah dan punahlah segala amalan yang kita kerjakan nanti.

Diantara amalan yang dianjurkan Rasulullah tersebut antara lain: Solat tarawih dan solat-solat sunat yang lain, bantu membantu diantara sesama Islam dengan amalan sedekah dan sebagainya, memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa terutamanya orang-orang miskin. Banyak bertahlil, banyakkan memohon keampunan dengan bertaubat dan beristighfar, memohon memperoleh syurga Allah di akhirat kelak dan mohon perlindungan dari api neraka. Wallahu A'lam
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054


97. Nama-nama yang Baik.
Soalan:
Bolehkah ustaz senaraikan nama-nama yang paling baik di sisi islam lelaki atau perempuan berserta maknanya sekali. Dan apakah makna Nur Fatihah, Nur Hidayah, Muhammad Firdaus dan Muhammad Hakim?
Auziera, KL
Jawapan:
Nur Fatihah maksudnya "Cahaya Pembukaan atau Cahaya Kemenangan".
Nur Hidayah maksudnya "Cahaya Petunjuk".
Muhammad Firdaus - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Firdaus ertinya: nama syurga.
Muhammad Hakim - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Hakim ertinya: Bijaksana.

Jika anda ingin senarai nama-nama anak lelaki dan anak perempuan dalam Islam bolehlah rujuk dalam buku Amalan mengandung & Setelah Bersalin serta Panduan menamakan Bayi DN 118

^ Kembali ke atas ^

98. Mempercepat Cari Jodoh.
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan jodoh? Ayat-ayat apakah yang perlu saya amalkan?

Anilzam Damha, KL
Jawapan:
Dalam usaha untuk mempercepat mencari pasangan hidup hendaklah kita banyak berdoa dan bermohon kepada Allah agar kita sentiasa memperoleh berkah dan rahmat-Nya. Kerjakan segala yang diperintahkan agama dan tinggalkan segala yang dilarang oleh Islam, jika amalan-amalan yang mulia ini kita laksanakan, maka Insya Allah akan ditentukan Allah dengan suatu yang lebih baik nantinya. Mungkin saja keterlambatan itu kerana ada hikmah yang terkandung didalamnya yang kita sendiri tidak dapat untuk menterjemahkannya. Mungkin juga terlambatnya jodoh kita itu kerana kelalaian kita dalam mengingati Allah SWT sehingga Allah mengingatkan kita dengan cara melambatkan jodoh tersebut, akhirnya kita sedar bahawa Allah lah tempat kita bermohon. Berdoalah setiap selepas solat lima waktu agar anda memperoleh pasangan yang baik dan menjalankan agama Islam dengan cara yang sempurna.

Dalam salah satu petua yang diungkapkan oleh seorang penyusun buku amalan menjelaskan bahawa untuk mempecepat memperoleh pasangan atau jodoh hendaklah sering mengamalkan membaca "Surah Thaha". Tapi yang penting doa yang kita ingin pohonkan itu kita sendiri mengetahui maksudnya, oleh sebab itu saya anjurkan cukuplah berdoa dengan bahasa yang anda fahami selepas mengerjakan solat lima waktu.


99. Batas Aurat
Soalan:
Dari pemerhatian saya, ramai daripada kalangan kita yang tidak mengendahkan larangan bersalaman tanpa alas dengan yang bukan muhrim. Apa yang menghairankan...mereka yang melakukan perkara ini adalah mereke yang warak dan alim..contohnya ustaz2 & imam2. Yang paling ketara ialah bersalam dengan ipar, anak saudara sebelah pasangan dan sepupu. Mungkin kerana dirasakan seperti keluarga dan tanpa niat.
Bolehkah kita menerima hakikat ini dan adakah ianya dibenarkan?
Begitu juga dengan larangan menutup aurat yang dipandang ringan di kalangan ipar dan saudara-mara. Harap dapat penjelasan daripada Darul Numan.

Fatimah, KL
Jawapan:
Dalam Islam telah menggariskan ketentuan tentang batas aurat ini, tidak kiralah siapa orang itu, jika ia bertentangan dengan ketentuan Islam maka hukumnya tetap berdosa. Dalam Surah An Nur ayat 31 ada dijelaskan tentang muhrim yang membolehkan mereka menampakkan perhiasan mereka. Untuk lebih jelas sila rujuk surah An Nur ayat 31 ataupun rujuk soalan yang telah lalu yang telah ditanya.

Mengenai menutup aurat dengan ipar telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa ipar itu adalah maut. Maksud maut disini adalah bahaya yang sangat besar yang akan terjadi jika pergaulan di antara mereka tidak diatur sesuai dengan tuntunan Islam.


100. Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain
Soalan:
Bolehkah seseorang yang sakit (tidak boleh berjalan) mengerjakan haji dengan cara mengupah seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihaknya?

Fauziah, KL
Jawapan:
Orang yang lemah keadaannya seperti sudah terlalu tua atau uzur sakit yang berat dan tidak dapat pergi sendiri untuk menyempurnakan fardhu Haji, maka diharuskan ia menyuruh orang lain mengerjakan Haji bagi pihak dirinya, samada dengan sukarela ataupun dibayar upahnya.

Begitu juga jika orang itu meninggal dunia tetapi belum dapat menunaikan fardhu Haji semasa hidupnya, maka harus juga hukumnya bagi orang yang hidup mengerjakan Haji atasnya, samada dengan sukarela atau diupah.