Monday, October 20, 2008

page 5

61. Rujuk Kepada Isteri Yang Diceraikan
Soalan:
Seorang isteri telah diceraikan olah suaminya dengan talak satu, tidak sampai 24 jam suami itu telah melafazkan rujuk kembali. Apakah isteri itu telah dikirakan sebagai isteri yang sah atau suami isteri itu hendaklah merujuk kepada kadi untuk rujuk kembali.
Lutfi, Kuala Lumpur
Jawapan:
Thalak raj'i tidak melarang bekas suami berkumpul dengan bekas isterinya, sebab aqad perkahwinannya tidak hilang dan tidak mempengaruhi hubungan yang halal.kecuali persetubuhan. Jika sudah rujuk maka mereka boleh bersatu kembali. Rujuk adalah salah satu hak lelaki selama masa iddah. Hak ini ditetapkan agama kepadanya, kerana itu ia tidak berhak membatalkannya sekalipun seandainya suami berkata "Tidak ada rujuk bagimu", namun sebenarnya ia tetap mempunyai rujuk. Hak rujuk bagi suami berdasarkan firman Allah maksudnya: "Dan bekas suami-suami mereka lebih berhak rujuk kepada mereka selama masa iddah itu". (Al Baqarah 229) Jika rujuk sudah menjadi hak suami maka untuk merujuk tidak perlu syarat kerelaan, pengetahuan bekas isteri dan wali. Hak rujuk ada di tangan lelaki (sebagaimana firman Allah di atas). Rujuk juga tidak perlu saksi sekalipun menghadirkan saksi di sini hukumnya adalah sunnah, kerana khuatir agar nantinya isteri tidak menyangkal rujuknya suami.

Rujuk boleh dengan ucapan seperti: "saya rujuk kamu" dan dengan perbuatan seperti menjimaknya, merangsang nafsunya dan sebagainya. Imam Syafei berpendapat bahawa rujuk hanya boleh dengan ucapan yang terang dan jelas dimengerti. Tidak boleh dengan bersetubuh dan rangsangan, kerana Imam Syafie beralasan talak memutuskan perkahwinan. Demikianlah diantara pendekatan syariat dalam perkara rujuk.

Namun dalam hidup bernegara kita memiliki undang-undang yang mengatur sistem kekeluargaan Islam. Jika bercerai hendaklah melaporkan kepada pejabat kadi agar perceraian itu dapat direkodkan. Oleh itu kita dapat mengetahui bahawa kita telah menyimpan satu atau dua talak, sehingga kita berhati-hati dalam menjatuhkan talak dan tidak hidup dalam kemaksiatan. Begitu juga ketika rujuk hendaklah memberitahukan kepada pejabat kadi sebagai bukti bahawa perceraian itu telah dirujuk kembali.
Sila rujuk buku:
1. Kursus & Bimbingan Perkahwinan DN 030


62. Menuntut Harta Setelah Cerai
Soalan:
a) Apakah hak isteri yang telah diceraikan yang mana sebelum ini telah tinggal bersama selama 34 tahun? Adakah isteri itu boleh menuntut harta sepencarian dan nafkah kerana isteri ini tidak mempunyai pekerjaan?
b) Bagaimana isteri itu hendak mendapat haknya dan kemana perlu dia membuat laporan serta tututan?
Lutfi N., KL
Jawapan:
a) Para ahli fiqah sepakat bahawa perempuan yang ditalak raj'i masih berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama masa iddah. Tentang perempuan yang ditalak, tiga ahli fiqah berselisih pendapat. Menurut Imam Hanafi perempuan yang ditalak tiga masih berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal daripada bekas suaminya selama masa iddah. Menurut Imam Ahmad, isteri tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal.

Sedangkan menurut Imam Syafie dan Imam Malik bagi perempuan talak tiga, ia mendapat hak tempat tinggal tetapi tidak mendapat hak nafkah kecuali kalau hamil. Hanya sebatas ini saja tanggungjawab bekas suami memberi nafkah terhadap bekas isterinya. Jika memang harta yang terkumpul dalam rumahtangga merupakan harta hasil usaha suami, maka isteri tidak berhak untuk menuntutnya. Terpulanglah budi bicara suami untuk memberi sebagai sedekah atau semisalnya. Namun jika dalam harta tersebut ada harta isteri di dalamnya yang diperolehi dengan usahanya sendiri atau harta waris dari ibu bapanya, maka suami perlu memberikan hak isteri tersebut.

b) Untuk mengetahui keterangan lebih tepat tentang masalah ini anda bolehlah merujuk kepada pejabat kadi setempat.


63. Persetubuhan Melalui Dubur
Soalan:

Hadis/kitab mengatakan persetubuhan melalui belakang (dubur) adalah HARAM. Bagaimana pula kalau dilakukan di belakang tetapi melalui faraj ?

Musykil, Sg Besi
Jawapan:
Islam melarang dan mengharamkan bagi suami yang menjimak isterinya melalui lubang duburnya. Bila terjadi isteri harus berusaha menolaknya sekalipun dia diancam oleh suami dengan berbagai seksaan. Kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan yang sangat terkutuk di sisi Allah. Orang yang berbuat demikian adalah orang yang buruk moralnya dan merendahkan darjat kemanusiaan. Termasuk golongan orang yang zalim serta bersifat seperti binatang. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Terkutuk, terlaknatlah siapa yang mendatangi isterinya dari lubang duburnya" (HR. Ibnu Adi, Abu Dawud dan Ahmad)

Mengenai cara berjimak terpulanglah kepada kita masing-masing untuk melakukannya asalkan perlu di jaga adab-adab berjimak seperti tidak melalui dubur serta menutup tubuh dengan selimut serta menjaga adab-adab yang lain agar hubungan suami isteri lebih harmoni. Melalui depan atau belakang tidak ada masalah bahkan dalam ayat Al Quran secara jelas menerangkan: "Isteri-isterimu adalah seperti kebun tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah kebun tempat kamu bercucuk tanam itu bagaimana saja yang kamu kehendaki" (Surah Al Baqarah ayat 223)


64. Mengambil Wuduk sebelum dan Sesudah Jimak
Soalan:
Wajib atau sunat membasuh kemaluan dan mengambil wudhuk, apabila hendak meneruskan persetubuhan
kali kedua ?
Musykil, Sg Besi
Jawapan:
Hukum mengambil wuduk sebelum melakukan jimak adalah sunat. Begitu juga setelah berjimak mengambil wuduk ketika itu juga sunat hukumnya, namun Rasulullah SAW selalu mengamalkanya jika baginda ingin melanjutkan jimaknya, tujuannya agar badan terasa lebih segar sehingga untuk meneruskan jimak berikutnya ghairah syahwat lebih tinggi dan dapat menimbulkan kepuasan antara kedua-dua belah pihak antara suami dan isteri.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Rumah idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN 036
2. Rumah idaman Syurga Impian "Isteri Teladan" DN 037


65. Berkomunikasi Dengan Suami dan Mertua
Soalan:
Saya mengenali seseorang yang menghadapi masalah rumahtangga. Masalahnya ialah berkomunikasi dengan suami dan ibu mertua. Suaminya suka merahsiakan aktivitinya dan masalahnya serta menyuruh isterinya supaya tidak mencampuri hal kerjanya. Tambahan lagi suami tidak mengamalkan tuntutan sembahyang. Suami juga suka melihat dan memuji wanita cantik di depan isteri. Ini membuatkan isteri cemburu memandangkan isteri hanya duduk di rumah menjaga dua anak yang masih nakal dan kecil.

Masalah dengan ibu mertua pula, suka mencampuri urusan keluarga anak dan menyusahkan suami dengan masalah kewangan. Suami bukan orang yang mempunyai pendapatan yang banyak. Ibu mertua juga memilih kasih antara menantu-menantu.

Akibat daripada masalah-masalah ini, isteri selalu meminta cerai. Tetapi suami tidak melayan & keadaan akan kembali normal. Kemudian perkara yang sama akan berlaku lagi, apakah hukumnya sekiranya suami berkata kepada isteri "telefonlah abang awak suruh dia datang dan bawa awak balik", adakah talak sudah jatuh?

Fatimah, K Lumpur
Jawapan:
Suami yang soleh adalah suami yang melaksanakan perintah Allah dan selalu membimbing keluarga ke jalan yang benar. Namun jika seorang isteri mempunyai suami yang ingkar dan meninggalkan perkara yang wajib, maka berusahalah untuk menasihatinya secara lebih baik agar keegoannya tidak tercalar. Kemudian banyaklah berdoa kepada Allah agar suami segera kembali ke jalan yang benar.

Jika berbagai cara tidak dapat mengatasi keingkaran suami terhadap Allah maka ketikan itu isteri boleh memilih jalan yang terbaik untuk dirinya. Pastikan benar bawaha kesalahan suami memang berkaitan dengan syarak. Sebab seandainya isteri minta cerai tanpa alasan syarak maka ia dikutuk oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang wanita yang minta cerai dari suaminya, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga". (Riwayat Tirmizi)

Mengenai sifat suami yang suka memuji wanita lain, ini merupakan akhlak yang tidak baik, dan bolehlah isteri menasihatkan kepada suami, kerana menyebut-nyebut tentang wanita lain dan memuji kecantikannya atas dasar dorongan syahwat adalah berdosa. Isteri harus bersabar atas sikap suami semacam ini. Walau bagaimanapun seorang suami masih mempunyai hak untuk kahwin lagi lebih daripada satu, kerana hukum syarak tidak melarangnya. Cuma isteri perlu pandai mengambil hati suami melalui pendekatan psikologi dan agama iaitu dengan banyak beribadah (kepada Allah dan juga suami) dan berdoa kepada Allah SWT.

Tentang ibu mentua yang suka meminta belanja daripada anak lelakinya, itu perkara biasa, kerana memang tanggungjawab anak lelaki membantu terhadap kedua ibu bapanya. Secara syarak orang tua terlepas dari segi nafkah setelah anak perempuannya berkahwin. Sedangkan anak lelaki ia terus bertanggungjawab terhadap ibu bapanya sampai keduanya umur lanjut atau meninggal dunia. Berbuat baiklah terhadap ibu mertua, kerana melalui rahimnyalah lahir suami yang mendampingi kita, maka samalah peranannya dengan ibu sendiri.

Kemudian mengenai ucapan "Telefonlah abang awak suruh dia datang bawa awak balik", jatuh talak atau tidak, maka ini tergantung niat suami. Jika ungkapannya itu sebagai suatu usaha untuk menyedarkan isteri dari sikap perlawanan atau kekasarannya terhadap suami, maka tidak jatuh talak. Namun menurut setengah ulama ucapan talak itu hendaklah jelas dengan menyebut kata talak atau kata cerai, baik secara langsung ataupun tidak. Secara langsung umpamanya "Aku ceraikan engkau talak satu". Maka jatuhlah talak satu ketika itu. Secara sindiran atau tidak langsung umpamanya: "Jika burung yang terbang itu burung gagak maka aku ceraikan engkau talak satu". Jika ternyata burung yang terbang itu memang burung gagak maka jatuhlah talak satu.


66. Menggunakan Kanta Mata 'Contact Lense'
Soalan:
Penggunaan contact lense amat popular di kalangan kita umat Islam. Memandangkan tidak ada fatwa mengenainya, saya ingin mengemukakan beberapa soalan.. Adakah sah sembahyang orang yang menggunakan lense kerana air sembahyang tidak kena pada anak mata?
Bagaimana pula ketika berpuasa? Bolehkah memasukkan lense ke dalam mata?
Bagaimana pula sekiranya solution yang digunakan mengandungi alkohol?

Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Kalau memakai contact lense tidaklah mempengaruhi wuduk, kerana syarat wajib wuduk tidaklah sampai membasuh biji mata. Wuduk tetap sah dan boleh mengerjakan solat. Begitu juga tentang puasa ia tetap sah sebab bukan memasukkan sesuatu melalui dua rongga. Solution bukanlah alkohol tetapi sejenis ubat (pelincir) untuk mata (alkohol adalah sangat merbahaya kalau terkena pada biji mata).


67. Musafir yang Telah Bermastautin
Soalan:
Saya baru balik bermusafir,adakah saya masih boleh menunaikan sembahyang secara jamak atau qasar sebaik sahaja saya sampai semula ke tempat saya bermastautin?
Auziera, K Lumpur
Jawapan:
Jika kita telah sampai ke tempat kediaman atau mukim kita, maka tidak perlulah kita mengerjakan solat jamak dan qasar sebab perjalanan kita telah berakhir. Untuk lebih jelas sila rujuk soalan 13 & 14.


68. Adab Berjimak
Soalan:
1) Apakah adab-adab untuk berjimak?
2) Bagaimana kalau si isteri termakan sperma suaminya dan apakah hukumnya?
3) Apakah hukumnya seseorang lelaki itu melancap?
Iswadi, KL

Jawapan:
1) Diantara adab berjimak iaitu:
i. Dalam melakukan persetubuhan dengan isteri bukanlah semata-mata hanya memenuhi keinginan nafsu berahi belaka. Niat dalam hati adalah untuk memenuhi kewajipan dari Allah dan sunnah Rasulullah.
ii. Sebelum bersetubuh hendaklah membaca doa.
iii. Waktu melakukan persetubuhan dengan isteri dilakukan dengan hati yang gembira serta menjauhkan perasaan susah. Tidak dalam keadaan terlalu lapar atau terlalu kenyang sebab akan mengurangi kenikmatan.
iv. Dianjurkan kepada suami dan isteri memakai pakian yang bersih dan memakai harum-haruman.
v. Suami tetap berusaha agar kedua belah pihak mencapai kepuasan secara bersama.
vi. Islam juga menganjurkan agar berwuduk sebelum melakukan jimak serta mengulangi wuduk kembali jika ingin melakukan persetubuhan yang kedua. Dengan berwuduk kesegaran badan kembali pulih.
vii.Setelah bersetubuh suami dan isteri hendaklah mencuci kemaluannya atau berwuduk sebelum tidur.
viii. Ketika bersetubuh tutuplah dengan selimut agar tidak menyerupai perangai binatang dan menjaga aib keluarga. Demikianlah di antara ada berjimak, masih banyak lagi ketentuan dan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang dapat kita baca melalui buku-buku atau kitab-kitab.

2) Setengah ulama mengatakan hukum termakan sperma itu makruh, kerana sperma bukan najis.

Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Mutiara Syurga Di Kamar Suami Isteri - Seni Nafkah Batin DN 079
2. Rumah idaman Syurga Impian "Suami Teladan" DN 036
3. Rumah idaman Syurga Impian "Isteri Teladan" DN 037

4. Untuk lebih jelas lagi sila rujuk soalan 58.


69. Mertua Menderhakai Menantu
Soalan:
Apakah hukumnya kalau ibu mertua menderhakakan menantunya?
Iswadi, KLumpur
Jawapan:
Istilah menderhakai itu lazim digunakan orang, pelanggaran yang dilakukan oleh seseorang yang lebih kecil kepada yang besar, atau yang muda kepada yang tua. Dalam kaitan dengan ibu mertua, mungkin tidak sesuai menggunakan istilah derhaka tetapi mungkin lebih sesuai dengan sebutan menzalimi menantu. Mertua yang menzalimi menantu hukumnya berdosa kerana Allah SWT sangat mengutuk orang yang menzalimi orang lain. Walaupun begitu seorang menantu hendaklah pandai menempatkan dirinya dalam kehidupan mertuanya, kerana kedudukan mertua di mata menantu samalah dengan kedudukan ibu atau ayah sendiri. Berdoalah kepada Allah agar mertua yang menzalimi menantu itu berubah dan mendapat petunjuk Allah untuk berbuat baik kepada orang lain.


70. Memutuskan Silaturrahim(Hubungan Persaudaraan sesama SeIslam)
Soalan:
Apakah hukumnya kalau ibu mertua memutuskan hubungan persaudaraan antara ibu mertua dengan menantunya yang suaminya telah kembali ke rahmahtullah?

Iswadi, K Lumpur
Jawapan:
Memutuskan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin adalah berdosa besar. Dalam ayat Al Quran ada dijelaskan: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka". (Muhammad 22 -23) Sebagai seorang manantu berusahalah agar sikap yang kurang baik ditunjukkan mertua itu dihadapi dengan jiwa yang dewasa, semoga dengan cara ini ia sedar bahawa ia telah melanggar syariat yang telah ditetapkan Allah dalam hal menjalin Silaturrahim.
Sila rujuk buku:
1. Dosa-Dosa Besar DN 220

No comments: