Monday, October 20, 2008

page 6

71. Solat Jenazah bagi Bayi
Soalan:
Jika sesorang itu melahirkan anak, tetapi anak itu didapati telah meninggal sewaktu di dalam kandungan lagi. Jadi, perlulah jenazah anak tadi dimandikan dan disembahyangkan seperti jenazah yang lain.
Kerana ada pendapat mengatakan bahawa jenazah bayi itu hanya dimandikan dan tidak wajib disembahyangkan. Bagaimanakah sebenarnya masalah ini?
Noranom, Kajang
Jawapan:
Bayi yang gugur atau lahir yang belum berumur empat bulan dalam kandungan, tidaklah dimandikan dan disolatkan. Cukup dibalut dengan kain lalu ditanam. Demikianlah pendapat fukaha tanpa ada perselisihan pendapat.

Jika telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan dan menunjukkan ciri-ciri hidup, maka menurut kesepakatan fukaha hendaklah dimandikan dan disolatkan. Seandainya tidak menunjukkan tanda-tanda hidup maka menurut golongan Hanafi, Maliki, Auzai dan Hasan tidaklah disolatkan.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika bayi yang gugur itu memiliki tanda-tanda hidup, hendaklah disolatkan dan ia berhak mendapat warisan". (HR Tirmizi, Nasai', Ibnu Majah dan Baihaqi) Menurut Imam Ahmad, Said, Ibnu Sirin dan Ishak berpendapat bahawa ia dimandikan dan disolatkan berdasarkan hadis yang berbunyi: "Orang yang berkenderaan hendaklah berada di belakang jenazah, sedang yang berjalan kaki di depannya, dekat kepadanya sebelah kanan atau kirinya. Sedang anak yang keguguran juga disolatkan dan didoakan keampunan dan rahmat bagi kedua orang tuanya". (HR. Ahmad dan Abu Daud)
Menurut ulama ini kerana anak itu merupakan manusia yang telah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya sehingga ia harus disolatkan sebagaimana halnya bayi yang mempunyai tanda-tanda hidup. Nabi SAW telah menyatakan bahawa pada usia empat bulan ditiupkanlah roh kedalam tubuh bayi yang ada dalam kandungan ibunya. Menurut pendapat ulama ini, hadis yang dikemukakan oleh pendapat pertama di atas lemah dan kerana bertentangan dengan yang lebih kuat, sehingga tidak dapat diterima sebagai hujjah atau dalil.

Maka dapat kita ambil kesimpulan jika bayi tersebut belum berumur empat bulan dalam kandungan telah meninggal dunia maka tidak perlu dimandikan dan disolatkan. Namun jika telah lebih dari empat bulan, maka perlu dimandikan dan disolatkan.


72. Korban Aqiqah
Soalan:
Mengenai Korban Aqiqah saya harap ustaz dapat menjelaskan tentang hukum, cara, masa dan kadarnya.

Badrul, KL
Jawapan:
Bersedekah pada hari ke tujuh dari kelahirannya dengan dua ekor kambing bila lelaki dan seekor kambing bila perempuan inilah dinamakan dengan aqiqah. Hukumnya sunnah muakad, walaupun bagi seorang ayah yang kurang mampu. Namun ada ulama mengatakan hukum aqiqah ini wajib, alasannya kerana Rasulullah SAW dan sahabat selalu melakukannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Bersama bayi adalah aqiqahnya, sembelihlah kambing baginya dan hilangkan gangguan darinya".
(Hadis riwayat lima rawi hadis) Boleh juga menyembelih seekor kambing untuk anak lelaki berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW terhadap cucu baginda Al Hasan dan Al Husein ra. Penyembelihan itu dilakukan pada hari ketujuh sesudah kelahiran. Ini jika sanggup. Kalau tidak, boleh pada hari kedua puluh satu dari hari kelahirannya. Jika tidak sanggup pula, boleh bila-bila saja. Dalam hadis riwayat Baihaqi disebutkan pula aqiqah disembelihkan pada hari keempat belas dan hari kedua puluh satu".

Dalam menyembelih kambing aqiqah dianjurkan mengucapkan "Bismillah, ya Allah ini dari Mu dan kepada-Mu sebagai aqiqah Fulan bin/binti Fulan". Dianjurkan waktu menyembelih aqiqah waktu matahari naik, dan dianjurkan pula mencukur rambut bayi sebelum menyembelih aqiqah. Namun ada pendapat yang mengatakan pencukuran rambut dilakukan setelah penyembelihan aqiqah dan bersedekah dengan emas seberat rambut yang dicukur. Aqiqah agar dimasak dengan bahan yang manis, untuk mengharapkan kemanisan akhlak bayi. Dan lebih utama ialah mengirimkan kepada kaum fakir dalam keadaan yang sudah masak. Menurut Imam Syafei boleh juga kita mengundang fakir miskin datang ke rumah kita untuk menikmati daging aqiqah tersebut.
Sila rujuk buku:
1. Permata Idaman Mutiara Syurga 'Lelaki Soleh' DN 105


73. Membaca Al-Quran Bertajwid
Soalan:
Apakah hukumnya membaca al-Quran jika semasa membacanya terdapat kesalahan dalam tajwid? Masalahnya saya tidak begitu arif dalam tajwid dan tidak begitu lancar membacanya. Harap Ustaz dapat menjawabnya. Sekian terima kasih.

Adi, Seoul, Korea
Jawapan:
Menurut Ibnu Al Jazari Al-Quran wajib dibaca secara tajwid. "Berdosalah membaca tanpa tajwid, sebab itulah cara ia diturunkan dan begitulah kepada kita ia disampaikan". Hendaklah membaca Al-Quran dengan tartil iaitu membacanya dengan sebutan yang betul (dengan mengeluarkan huruf daripada makhrajnya dan membaca menurut hukum-hukum tajwid) dan membaca dengan lambat-lambat, kerana maksud membaca Al-Quran itu ialah dengan tadabbur atau berfikir dan tiadalah dia diperolehi jika dibaca dengan cepat.

Membaca dengan tartil itu adalah amat memberi kesan dalam hati dan lebih layak untuk berfikir dan memahaminya. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan tartilkanlah bacaan Al-Quran dengan sempurna". (Surah Al Muzammil ayat 4) Berusahalah mempelajari tajwid semampu yang boleh, dengan ikhtiar itu setidak-tidaknya telah menyelamatkan kita daripada membuat kesalahan dalam membaca Al-Quran. Seandainya masih terdapat kesilapan dan kesalahan kita berserah kepada Allah.


74. Ubat Mengandungi Alkohol
Soalan:
Assalamu'alaikum..
Di sini saya ada satu soalan berhubung dengan hukum. Soalan saya, apakah hukumnya memakan ubat batuk yang mengandungi alkohol maksud saya kandungan ubat itu ada tertulis 5% alcohol?
Sekian.

Wan Azuwan , Nashville, USA
Jawapan:
Dalam Hadis Rasulullah ada disebutkan. Dari Aisyah ra. ia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Setiap yang memabukkan itu hukumnya haram. Kalau banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun haram". Dalam hadis lain yang diriwayatkan oelh Ahmad dan Abu Daud dari Abdullah bin Umar bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Setiap yang memabukkan adalah khamar (termasuk khamar) dan setiap khamar adalah diharamkan". Dari dua hadis diatas dapat kita simpulkan bahawa khamar atau alkohol yang biasa digunakan orang untuk minuman yang memabukkan itu sedikit atau banyaknya tetap haram. Namun dalam kaedah ilmu fiqih adalah istilah darurah. Jika telah diusahakan untuk mencari ubat lain namun tidak berhasil, maka ketika itu hukumnya harus (dibolehkan) menggunakan ubat yang mengandungi alkohol. Setelah itu mohonlah perlindungan kepada Allah agar kita terhindar dari sentiasa bergelimang dalam perkara syubhat. Wallahu A'lam.


75. Syarat Sembahyang Qasar
Soalan:
1. Apakah syarat-syarat yang membolehkan kita sembahyang qasar?
2. Saya tinggal di bandar AMBS dan pergi ke Kuala Terengganu yang jaraknya 96 KM atas tugas pejabat. Dalam perjalanan pulang ke AMBS, saya telah singgah di masjid Ajil (telah masuk waktu zohor) dan sembahyang jamak takdim serta qasar bagi sembahyang zohor dan asar. Bolehkah saya berbuat demikian..?
Saarini, Dungun
Jawapan:
Dalam mengerjakan solat jamak dan qasar jarak yang ditempuh hendaklah lebih dua marhalah (91 Kilometer atau 56 batu) dengan niat dan tujuan yang baik. Dengan demikian dari segi jarak yang anda tempuh membolehkan anda melakukan solat jamak dan qasar tersebut.
Sila rujuk buku:
1. Panduan Musafir, Solat Jama' dan Qasar serta Persoalannya DN 084


76. Isteri Minta Cerai
Soalan:
Apa pandangan Islam terhadap seorang isteri (pertama)yang sanggup mengugut dengan kata-kata serta perbuatan yg boleh ditakrifkan sebagai "menderhaka" kepada suaminya supaya menceraikan isteri kedua semata-mata kerana ia tidak boleh menerima hakikat yang suaminya telah berpoligami?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Jika seorang isteri minta cerai daripada suaminya lantaran suami berkahwin lagi maka isteri telah melawan hakikat hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Jika permintaan itu tanpa alasan yang jelas dan tidak sesuai dengan tuntutan syarak maka hukumnya berdosa. Apatah lagi permintaan cerai itu atas dasar cemburu atau marah kerana di madu. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Dari Abu Hurairah, sesungguhnya telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang wanita tidak boleh meminta suaminya menceraikan isterinya (yang lain) supaya berkecukupan tempat makannya atau nafkahnya" (HR Tirmizi) Jadi jelaslah usaha isteri pertama agar suaminya menceraikan isteri yang lain itu berdosa dan dilarang dalam Islam. Allah SWT memberikan hak kepada pihak lelaki untuk memiliki isteri seramai empat orang. Masing-masing isteri tersebut mempunyai hak terhadap suaminya sama seperti hak dirinya terhadap suaminya. Oleh kerana itu tidak ada hak bagi dirinya menyuruh suami agar menceraikan atau mengurangi hak-hak madunya. Sebab jika perkara ini dilakukan bererti ia telah merampas hak madunya dan sekaligus derhaka kepada suami yang memiliki hak untuk berpoligami. Kederhakaan atas hak suami ini bererti derhaka terhadap hukum yang telah ditetapkan Allah SWT.
Sila rujuk buku:
1. 20 Kesilapan Isteri DN 265


77. Minta Cerai Kerana Suami Berzina
Soalan:
Terima kasih atas jawapan yang diberikan mengenai masalah komunikasi dengan suami.
Malangnya, si suami telah terlanjur dengan melakukan zina pula kali ini. Alasan yang diberikan adalah kerana membalas dendam dengan sikap isteri yang suka merungut tentang ibunya. Apakah nasihat ustaz kepada si isteri dalam menangani masalah ini? Adakah dibolehkan si isteri meminta cerai ?
Fatimah, KL
Jawapan:
Isteri boleh meminta cerai kepada suaminya (khuluk) jika benar-benar telah melalui beberapa pertimbangan menurut syariat Islam. Harus hukumnya sekiranya terdapat keperluan ke arah itu, seperti isteri membenci suaminya kerana perwatakan luarannya, kerana akhlaknya yang tercela, kerana agamanya ertinya mengabaikan perintah Allah atau melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan lain-lain, terlalu tua atau lemah syahwat. Kemudian isteri pula khuatir kalau-kalau tidak dapat melaksanakan hak-hak Allah SWT dalam mentaati suaminya.

Jika suami mengatakan bahawa dia telah melakukan zina dan sifat terus terangnya itu kerana menginginkan agar isteri meminta cerai, maka perbuatan suami semacam ini haram hukumnya dan berdosa besar. Seandainya telah sampai ke tahap demikian berpisah atau cerai adalah lebih baik demi kemaslahatan isteri dan menjaga agama isteri.

Sebagaimana Islam memberikan hak kepada suami tentang talak maka Islam juga memberi hak kepada isteri untuk meminta khuluk atau cerai. Untuk lebih memuaskan lagi hati puan merujuklah kepada pihak qadi yang berdekatan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang bijaksana dan mengikut undang-undang syariat di negara kita.


78. Bekerja Sebagai Broker Insurans Minuman Keras
Soalan:
Saya bekerja sebagai seorang broker insurans. Adakah dibenarkan saya menguruskan insurans untuk pelanggan yang perniagaannya melibatkan import minuman keras? Ada pendapat mengatakan bahawa kami hanya menjalankan tugas sebagai broker, oleh itu tidaklah berdosa. Di harap dapat penjelasan ustaz?
Terima kasih.

Fatimah, KL
Jawapan:
Menurut sebahagian ulama mengatakan segala sesuatu yang berhubungan dengan minuman keras dan berkaitan dengannya tetap terlarang. Bahkan setengahnya mengatakan mengambil upah memotong rumput di kilang minuman keras pun tetap terlarang. Dalam Hadis Rasulullah SAW ada dijelaskan bahawa ada sepuluh orang yang terlibat di dalamnya mendapat dosa.

Diriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dalam persoalan khamar ini ada sepuluh orang yang dikutuk disebabkannya; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayar dan pemesannya". (Diriwayatkan Ibnu Majah dan Tarmizi) Seandaianya puan sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain dan sedang berusaha untuk mencari pekerjaan yang tidak ada kaitan dengan minuman keras ataupun unsur riba dan sesuatu yang haram, maka yang paling penting dalam hal ini menurut Yusuf Al Qardawi kita tidak reda dengan sesuatu yang berkaitan dengan perkara haram ini. Setelah itu berusahalah untuk mencari yang baik dan yang diredhai Allah SWT, agar hidup kita mendapat berkat dan rezeki yang kita makan serta anak-anak dan keluarga kita nikmati itu tidak mengandungi unsur subhat. Wallahu A'lam.


79. Membentuk Keluarga Sakinah
Soalan:
Saya mempunyai pertanyaan yaitu ... Saya belum lama ini menikah dan isteri saya adalah anggota ABRI/Tentara/Army, pertanyaan saya adalah bagaimana membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah dengan kondisi sekarang ini, mungkin Darul Nu'mam mempunyai buku-buku atau referensi yang membahas tentang bagaimana membentuk keluarga yang islami ..... terima kasih?

Dadang, Indonesia
Jawapan:
Dalam Islam suami memegang peranan yang sangat penting untuk membina rumahtangga yang berkat dan diredhai Allah. Semenjak daripada menyediakan tempat tinggal hinggalah persoalan makan dan minum, suamilah yang harus menyediakannya, sedangkan isteri berperanan sebagai ibu dalam rumahtangga, baik menyediakan makanan dan minuman serta melayan suami mahupun menjaga anak-anak jika sudah punya anak. Namun jika isteri juga bekerja di luar rumah sebagaimana suami, maka aturlah masa agar hubungan keduanya tidak terjejas atau terganggu.
Sila rujuk kategori:
1. Perkahwinan
2. Kekeluargaan


80. Doa dan Wirid ketika Haid
Soalan:
Bolehkah seorang wanita yang didalam keadaan haid mengamalkan doa-doa yang di petik dari ayat Al-Quran (dengan niat berdoa)?
Juhanizah, Subang Jaya
Jawapan:
Ada berbagai pendapat tentang boleh dan tidaknya seseorang itu membaca Al-Quran ketika mereka sedang haid atau berjunub. Pendapat yang mengatakan wanita haid tidak boleh membaca Al-Quran sesuai dengan dalil Al-Quran maksudnya: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan". (Al Waqiah ayat 79). Kemudian menurut hadis Rasulullah SAW maksudnya: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang suci". (Riwayat Tabrani) Pendapat yang mengatakan boleh mereka berdasarkan sebuah hadis yang umum bermaksud: "Bahawa Rasulullah SAW berzikir kepada Allah dalam segala keadaan. Menurut riwayat bahawa Ibnu Abbas membaca wirid ketika berjunub. Bahkan beliau ada berkata "Telah bercerita kepadaku Abu Sufyan bahawa Harqal menyeru orang ramai dengan membaca kitab Nabi SAW iaitu dalam keadaan berjunub".

Diceritakan oleh Abu Tsaur dari Imam Syafe'i bahawa wanita yang sedang haid dibolehkan membaca Al-Quran. Tentang penafsiran mereka ayat yang menyebutkan: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan" (Al Waqiah ayat 79) Maksud ayat disini adalah orang-orang kafir dilarang menyentuh Al-Quran.

Untuk lebih jelas kita rujuk pendapat-pendapat ulama muktabar.
Menurut mazhab Abu Hanifah, mazhab Syafe'i dan Ahmad mengatakan :Wanita haid dan junub boleh membaca Quran tanpa memegang kitab.
Sila rujuk buku:
1. Pantang Larang Wanita DN 203

No comments: