Wednesday, September 24, 2008

soalan-jawaban

11. Panduan dan Doa Mendapat Pasangan yang Soleh.
Soalan:
Kita memang perlu berdoa kepada Allah agar mendapat pasangan yang soleh/solehah, boleh Ustaz berikan panduannya serta doa-doa yang perlu diamalkan?
NNMS, Kuala Lumpur
Jawapan:
Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik".
*Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100
kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.
*Doa lain iaitu mohon petunjuk yang lurus dari segala urusan (al Kahfi ayat 10).
*Doa memperoleh hikmah dan tergolong orang yang soleh (surah Asy Syuara ayat 83 - 85).

Sila rujuk Buku:
1. Asmaul Husna - Rahsia dan Amalannya DN 041




12. Anak
Soalan:
Saya sekarang mengandungkan anak kedua kami. Anak kami yang pertama baru berusia 6 bulan dan sekarang ini saya sedang mengandung dua bulan, anak kedua kami. Masalah saya ialah, adakah saya berdosa apabila menyatakan anak yang dikandung sekarang ini secara kebetulan sahaja dan tidak berniat untuk mengandung lagi. Maksud saya, saya tidak mahu anak lagi buat masa ini memandangkan anak kami kecil lagi. Tolonglah saya...
Hamba Allah...
Jawapan:
Anak adalah salah satu rahmat dan nikmat yang Allah anugerahkan kepada setiap manusia, menolak nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah berdosa kerana memungkiri fitrah yang telah Allah tetapkan. Allah SWT berfirman dalam surah Al Kahfi ayat 46 maksudnya: "Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan ini..." Maksud perhiasan dalam ayat ini adalah memberikan keindahan kalau dilihat, rasa kebanggaan bagi yang memilikinya serta memberikan penghargaan dan penghormatan bagi pemiliknya.

Sama ada kita berniat atau tidak berniat untuk mengandung, ia merupakan ketentuan Allah yang wajib kita syukuri kemudian berdoa agar kandungan kita sentiasa dalam keadaan sihat, dengan cara ini kita tergolong insan yang bersyukur dengan rahmatNya. Kerana manusia tidak mengetahui bahawa dalam sesuatu yang tidak ia sukai itu terkandung nilai dan manfaat yang banyak untuk dirinya. Janganlah mementingkan pekerjaan daripada sesuatu yang lebih besar iaitu rahmat Allah.

Banyakkan amalan ketika ini agar keresahan dan kesukaran dilapangkan Allah SWT. Bacalah doa mohon rahmat terkandung dalam surah Ali Imran, ayat 8-9. Doa untuk mendapat zuriat yang soleh, surah Ali Imran, ayat 38. Doa agar keturunan tetap mengerjakan solat, surah Ibrahim, ayat 40 dan 41 serta doa-doa lainnya. Hanya dengan mendekatkan diri kepadaNya segala kebimbangan dan keresahan hidup kita hilang.
Sila rujuk buku:
1. 20 Sifat fitrah Anak DN 240
2. Isteri Teladan DN 037





13. Cara Solat Qasar

Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk melakukan salat Qasar?
. Nazri
Jawapan:
Solat qasar ertinya memendekkan solat dari empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat Isyak, Zohor dan Asar. Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah.

Tentang jarak dua marhalah itu ulama' berbeza pendapat, ada yang mengatakan 48 batu, ada yang mengatakan 52 batu dan ada pendapat 60 batu. Salah satu pendapat bolehlah kita pegang.





14. Cara Solat Jamak (Taqdim dan Ta'khir)
Soalan:
Saya sudah terlupa bagaimana hendak melakukan Jamak (Taqdim & Ta'khir).
. Nazri
Jawapan:
Solat jamak ertinya menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, misalnya menghimpunkan solat Zohor kepada Asar dan sebaliknya serta fardhu Maghrib dan Isyak dan sebaliknya.
Jamak Taqdim adalah bila solat Zohor dijamakkan dengan Asar pada waktu Zohor, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib. Syarat jamak Taqdim iaitu dimulai dengan solat yang punya waktu, niat jamak pada solat yang pertama, muwalat atau berturut-turut, berkekalan musafirnya hinggalah takbir solat yang kedua.

Jamak Ta'khir adalah, melaksanakan solat Zohor dan Asar pada waktu Asar, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Isyak. Syaratnya berniat hendak menta'khirkan solat yang pertama pada waktu yang kedua, berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat. Solat jamak Tak'hir tidak disyaratkan tertib ertinya boleh yang mana dahulu dan yang mana kemudian.
Sila rujuk buku :
1. Panduan Lengkap Fardhu Ain DN 052
2. Solat Jamak dan Qasar DN 084




15. Terbawa Ayat Suci Ke Tandas
Soalan:
Bagaimana sekiranya seseorang terbawa ayat suci Al Quran bersama dengannya ke dalam tandas.
Apakah hukumnya?
. Safiron
Jawapan:
Sebagaimana kita maklumi bahawa Al-Quran adalah kitab suci, justeru itu orang Islam sangat menghormati dan memuliakan Al-Quran. Hampir tiap-tiap rumah orang Islam ada menyimpan kitab suci Al-Quran sama ada untuk
dibaca pada waktu-waktu tertentu ataupun sesuatu keperluan yang ada hubungannya dengan Al-Quran.
Al-Quran dibaca dan dibawa oleh setiap orang Islam di rumahnya, di masjid-masjid, di majlis-majlis ilmu dan sebagainya, kerana Al-Quran merupakan panji-panji Islam bagi orang yang membaca dan mengamalkannya.
Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya". (Riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Jadi tidak layaklah kitab suci Al-Quran di bawa ke tempat yang bernajis, jika dengan sengaja melakukannya maka kita berdosa, maka segerakanlah memohon keampunan Allah SWT. Namun jika tidak sengaja perkara tersebut dimaafkan, kerana ada keringanan bagi seseorang yang tidak berhasrat melakukan kesalahan. Namun segeralah keluar bila kita menyedarinya.




16. Solat Ketika Sesat Di Hutan
Soalan:
Bagaimana caranya hendak melakukan solat kalau kita tersesat di dalam hutan pada waktu malam?
. Safiron
Jawapan:
Jika kita tersesat di dalam hutan di waktu malam sedangkan kita tidak dapat mengesan arah kiblat ketika itu, maka kita boleh berpandukan bintang-bintang yang ada di langit. Namun jika bintang-bintang pun tidak kelihatan kerana cuaca mendung ataupun berjerebu, ketika dalam keadaan darurat itu maka kita bolehlah menghadap ke arah manapun yang kita anggap betul ketika itu, kerana yang paling penting saat itu adalah kiblat hati iaitu kepada Allah SWT.

Dari Amir bin Rabi'ah, ia berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW. pada suatu malam gelap, lalu bingung menentukan arah kiblat, lalu kami solat. Maka tatkala terbit matahari, ternyata kami solat tidak menghadap kiblat. Lalu turun ayat "Maka kemanapun kamu menghadap, disitu ada keredhaan Allah." (Riwayat Tirmizi)
(Sila rujuk Bulughul Malam oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani, bab syarat-syarat solat)



17. Jenis Debu/Tanah Untuk Tayamum
Soalan:
Dalam situasi krisis air yang melanda di tempat saya ketika ini, kemungkinan bertayamum terpaksa dilaksanakan demi untuk melakukan solat. Namun kemusykilan saya adalah dari segi debu yang bagaimanakah harus saya gunakan memandangkan persekitaran tempat kediaman saya yang tidak bersih?
. Safiron
Jawapan:
Allah jadikan permukaan bumi ini bagi umat Nabi Muhammad suatu rahmat yang boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan najis. Rasulullah SAW bersabda: Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda: "Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seseorangpun sebelumku. Aku diberi kemenangan terhadap musuh sejauh perjalanan sebulan, dan dijadikan bumi ini sebagai dan alat bersuci bagiku, maka siapa saja bertemu waktu solat hendaklah ia solat di tempat itu..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Sayid Sabiq; boleh tayamum dengan tanah yang suci begitupun dengan segala yang sejenis tanah seperti pasir, batu, batu bata, berdasarkan firman Allah SWT: "Hendaklah kamu bertayamum dengan sha'id yang baik". Sedang ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan sha'id itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun lainnya.
(Sila rujuk Bulughul Malam oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani dan Fikih Sunnah Sayid Sabiq, bab tayamum)




18. Bulu Binatang
Soalan:
Apakah hukum bagi bulu binatang yang halal dan yang haram dimakan, bagaimana sekiranya ia terlekat pada tempat sembahyang?
. Zulkifli
Jawapan:
Untuk menjawab pertanyaan ini kami kemukakan ayat Al Quran dan hadith Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam surah Al An'am ayat 145, maksudnya: "Katakanlah: tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor..."
Menurut Fiqih Sunnah Sayid Sabiq, mengenai bulu babi menurut pendapat ulamak yang terkuat dibolehkan untuk diambil sebagai benang jahit. Begitu juga halnya dengan anjing, Rasulullah SAW bersabda: "Mensucikan bejanamu yang dijilat oleh anjing ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mulanya dengan tanah." (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)
Mencuci dengan tanah maksudnya ialah mencampurkan ke dalam air hingga menjadi keruh. Jika ia menjilat ke dalam bejana yang berisi makanan kering, hendaklah dibuang mana yang terkena jilatan dan sekelilingnya. Sedang sisanya tetap digunakan kerana suci. Mengenai bulu anjing, maka pendapat yang terkuat ia adalah suci, dan tak ada alasan megatakan ianya najis. Seandainya bulu binatang yang terlekat pada tempat solat itu melekat kotoran atau najisnya sehingga mengotorkan tempat solat maka tidak sah solat, kerana salah satu syarat-syarat sah solat hendaklah bersih badan, pakaian dan tempat daripada najis.




19. Membenarkan Isteri Keluar
Soalan:
Saya sering dilanda dilema apabila Isteri saya telefon saya di tempat kerja untuk meminta kebenaran pergi ke majlis perkahwinan bersama ibunya. Apakah yang patut saya berikan jawapan kepadanya?
. Zulkifli
Jawapan:
Seorang isteri berada dalam tanggungjawab dan jagaan suami sepenuhnya. Jika ia minta izin untuk menemui undangan atau sesuatu majlis disertai dengan muhrimnya sedangkan majlis itu dipastikan tidak mengandungi unsur maksiat seperti ada minuman yang memabukkan dan sebagainya, maka suami boleh izinkan. Namun jika suami khuatir akan menimbulkan fitnah atau perkara yang tidak baik maka ia boleh menghalang isterinya.

Dalam hadith diterangkan, "Dari Ibnu Abas ra. sesungguhnya seorang wanita dari suku Khat'am datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri. Baginda bersabda: Sesungguhnya hak suami terhadap isteri iaitu jika suami menghendaki dirinya sekalipun ia berada di atas kenderaan ia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, jika ia terus melakukannya itu hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika ia tetap keluar maka malaikat langit dan malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai ia pulang." (Riwayat Thabrani)
Sila rujuk buku:
1. 20 Kesilapan Isteri DN 265





20. Bukan Muhrim Tinggal Serumah
Soalan:
Saya sekarang tinggal bersama ibu mertua saya di Kuantan. Isteri saya sekarang baru saja melahirkan anak kedua kami.Yang menjadi masalah bagi saya ialah sepupunya (lelaki) datang untuk tinggal selama 2 bulan di sini. Kerana praktikal di bandar Kuantan. Jadi apakah yang patut saya lakukan?
. Zulkifli
Jawapan:
Kehidupan rumahtangga adalah jalinan perasaan antara suami dan isteri yang tidak harus terselip rasa kebimbangan dan kecurigaan. Jika perasaan ini muncul disebabkan oleh faktor luaran, maka suami harus menyelesaikannya secara bijaksana. Di dalam Islam seorang isteri dilarang menerima tetamu lelaki jika tidak ada suaminya di rumah, kerana ianya boleh menimbulkan fitnah. Apatah lagi jika suami ataupun isteri mengajak orang lain untuk tinggal serumah dengan mereka ini bererti suami telah mengabaikan keselamatan diri isterinya.

Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar sepupu tadi boleh menyewa rumah di tempat lain, jika terpaksa, jagalah kehormatan dan pergaulan di dalam rumah tersebut mudah-mudahan di ampuni Allah. Yang jelas pada dasarnya suami tidak boleh menempatkan isterinya dengan orang yang bukan muhrimnya.

Rasulullah SAW bersabda: Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita:. Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".Sabda baginda: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasa'i)

Jadi jelaslah jika ipar sahaja disamakan dengan maut (perkara yang merbahaya) apatah lagi jika orang lain. Semoga Allah meringankan kita dalam segala urusan, insya Allah.
Sila rujuk buku:
1. 40 Peranan Suami Cemerlang DN 237

No comments: