Wednesday, September 24, 2008

soalan-jawaban

21. Taat Kepada Kedua Orang Tua
Soalan:
Sebagai seorang anak kita mestilah taat kepada kedua Ibu & Bapa Jikalau kita ingin melakukan sesuatu pekerjaan yang baik ataupun yang ringkasnya sesuatu yang diredhai Allah, tetapi Ibu tidak redha diatas pekerjaan tersebut adakah kita harus akur terhadap kehendaknya (Ibu). Kerana setahu saya keredhaan Ibu adalah jua keredhaan Allah s.w.t ...
Untuk pengetahuan Ustaz, saya masih lagi berharap ke hadrat Allah supaya saya dapat melaksanakan niat saya itu. Jadi tolonglah ustaz beri padangan / penyelesaian terhadap masalah saya ini...
Muhammad Yusuf , PJ
Jawapan:
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis". Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Riwayat Ibnu Majah)
Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.
Sila rujuk buku:
1. Lelaki Soleh DN 105
2. 20 Kesilapan Anak DN 248





22. Menyalahgunakan Wang Derma

Soalan:
Lima tahun yang lepas saya pernah mengutip derma dari orang ramai untuk membina sebuah surau. Oleh kerana pada masa itu saya berada didalam kesusahan maka saya telah mengunakan wang tersebut untuk kegunaan keluarga. Sekarang saya ingin menyerahkan wang yang telah saya gunakan itu. Bolehkah saya menyerahkan wang tersebut kepada surau atau masjid lain yang sedang dalam pembinaan kerana surau yang saya kutip derma dulu sudah dijadikan sekolah ugama. Ataupun bagai mana harus saya lakukan bagi menebus dosa saya dengan Allah dan masyarakat yang telah menderma itu.
Diatas pertolongan Ustaz saya ucapkan ribuan terima kasih.
Abdul, Perak
Jawapan:
Jika kita telah bertaubat dari perbuatan masa silam, maka bertaubatlah dengan taubat nasuha, kerana rezeki yang kita makan dengana cara yang haram akan menutup hati daripada kebenaran. Jika kesedaran itu timbul bererti Allah telah memberikan hidayah atau petunjuk-Nya kepada kita.

Mengenai wang derma surau yang dipakai lima tahun yang lalu adalah lebih baik diserahkan kepada pihak atau ahli jawatankuasa yang mempercayai anda ketika itu. Jika ketika ini ahli jawatankuasa telah berubah dan bahkan surau tersebut telah menjadi sekolah, ada baiknya diserahkan juga kepada pihak sekolah, kerana perubahan yang terjadi
bukan kepada perkara maksiat. Tugas anda adalah menyampaikan hajat kaum muslimin yang mempercayai anda lima tahun yang lalu.

Ada baiknya dalam memulangkan wang tersebut, tirulah sikap Rasulullah. Kerana Rasulullah SAW ketika memulangkan pinjaman baginda sebanyak satu gantang kurma kepada seorang yahudi, maka baginda menghadiahkan
satu gantang lagi kepada orang yahudi tersebut. Sehingga ia menerima dua gantang kurma daripada Rasulullah SAW. Mungkin cara ini dapat membersihkan hati kita dari sesuatu yang meresahkan jiwa.





23. Menyalahgunakan Internet

Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya kawan-kawan saya telah menyalah gunakan kemudahan internet untuk menyelusuri gambar-gambar lucah ibarat cendawan tumbuh.
Muhd. Asyra , PJ
Jawapan:
Menurut Imam Al Ghazali dalam bukunya "Bimbingan Mukmin", mata harus dipelihara dari memandang wajah atau aurat seorang wanita, atau memandang kepada aurat seseorang muslim. Sebaliknya pandanglah sesuatu yang bermanfaat, kerana mata itu diciptakan hanya untuk melihat kepada keajaiban-keajaiban ciptaan Allah dengan pandangan yang penuh iktibar dan insaf.

Dalam surah An Nur ayat 24 dijelaskan maksudnya: "Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki, hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya, kerana yang demikian itu lebih bersih bagi mereka".
Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi ada dijelaskan bahawa: "Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, begitu juga seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan yang lain". Jadi jika melihat aurat sesama lelaki dilarang, apakah lagi seorang lelaki melihat aurat wanita, maka jelaslah hukumnya haram, tak kiralah baik dalam bentuk tubuh sebenar mahupun gambar atau filem.
Sila rujuk buku:
1. Penghalang Kesucian Batin DN 109





24. Hudud
Soalan:
Apakah hukumnya saya mengatakan bahawa hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk?
Mohd. Awaluddin, Kuantan
Jawapan:
Hukum mengatakan hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk adalah haram. Sebab hukum yang ditetapkan Allah dalam Al Quran itu adalah untuk seluruh alam. Maka perkara amat tercela jika mengatakan Al Quran dan segala ketentuannya tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. Jika perkara ini dikeluarkan dari mulut Islam maka segeralah bertaubat, agar tidak sentiasa dalam kesesatan.

Mengenai proses pelaksanaannya di dalam masyarakat yang berbilang kaum ini ada ketentuan yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Jadi janganlah umat Islam menafikan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT di dalam Al-Quran. Sebagai masyarakat awam seandainya kita tidak mampu untuk melaksanakannya adalah lebih baik diam dan menyerahkannya kepada Allah agar hukum Islam dapat diterapkan pada masa yang ditentukan-Nya. Itu lebih selamat bagi kita.

Firman Allah SWT dalam Al Quran maksudnya: "Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya". (An Nisaa' 60)





25. Menamakan Anak
Soalan:
Jika kita namakan anak kita sempena nama kebesaran Allah dan ditambah pada permulaannya dengan nama MUHAMMAD, contohnya MUHAMMAD QUYYUM. Ada pendapat mengatakan tidak boleh sebab mesti didahului dengan ABDUL, sila jelaskan. Terima Kasih, wassalam.
Abdul Halim, PJ
Jawapan:
Orang tua hendaklah berhati-hati dalam memberikan nama-nama anak, agar tidak memasukkan kita ke dalam kemusyrikan kepada Allah SWT. Kita juga tidak boleh memberikan nama kepada diri dan anak-anak kita dengan nama-nama Allah seperti Ahad, Ash Shamad, Ar Razaq dan lain-lain. Jika ingin menggunakan nama-nama Allah sebagai nama kita, tambahlah kata Abdul (hamba) bukan Muhammad (insan mulia). Jika Qayyum (berkuasa) tambahlah Abdul Qayyum (hamba Allah yang Berkuasa) bukan Muhammad Qayyum (insan yang terpuji yang berkuasa).

Begitu juga kita tidak boleh memberi nama untuk anak-anak dengan nama-nama surat dalam Al Quran seperti Thaha dan Yasin. Menurut Imam Malik bahawa nama tersebut makruh dipakai untuk nama anak-anak kita.




26. Solat Jumaat Bagi Musafir
Soalan:
Adakah orang musafir wajib menunaikan solat Jumaat menurut Mazhab Shafi'e?
Amu, JB
Jawapan:
Musafir, sekalipun waktu solat Jumaat didirikan itu ia sedang berhenti maka ia tidak dituntut mengerjakan solat tersebut. Sebahagian besar ahli berpendapat bahawa bagi musafir tak ada kewajipan Jumaat, sebab Nabi SAW ketika dalam perjalanan tidaklah mengerjakan solat Jumaat Begitu juga halnya ketika baginda mengerjakan haji Wada' di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat baginda hanya solat Zohor dan Asar secara jamak taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat. Dan demikianlah pula yang dilakukan khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW.




27. Solat Jumaat di Hari Raya
Soalan:
Sekiranya Hari Raya jatuh pada hari Jumaat apakah hukum menunaikan solat Jumaat pada hari itu?
Nursa'adah, JB
Jawapan:
Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka gugurlah kewajiban solat Jumaat bagi orang yang telah mengerjakan solat hari raya, berdasarkan hadis dari Zaid bin Arqam katanya: "Nabi SAW bersembahyang hariraya, kemudian memberikan kelonggaran dalam mengerjakan solat Jumaat". Sabda baginda: "Siapa yang suka bersembahyang Jumaat, maka bersembahyanglah".

Juga dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada harimu ini (Jumaat), telah berkumpul dua hariraya. Maka barangsiapa yang ingin, solat hari rayanya ini sudah mencukupi solat Jumaatnya. Hanya kami akan tetap melakukan solat Jumaat".
(Riwayat Abu Daud)
Terhadap imam, ia disunatkan tetap mengadakan solat Jumaat, agar dapat diikuti oleh orang yang ingin menghadirinya ataupun oleh orang-orang yang pagi harinya tidak mengikuti solat hariraya. Menurut mazhab Hanbali orang tidak bersembahyang Jumaat sebab sudah bersembahyang hariraya masih berkewajiban mengerjakan solat Zohor. Yang lebih kuat ialah tidak wajib Zuhur samasekali sebab ada riwayat Abu Daud dari Ibnu Zubair maksudnya: "Dua hari raya berhimpun dalam satu hari, maka keduanya dikumpulkan oleh Nabi SAW yang bersembahyang dua rakaat pada pagi harinya, serta tidak menambah sedikitpun sampai baginda melakukan solat Asar".
(Sila rujuk Fiqhus Sunnah -Syed Sabiq, bab Solat) Dalam Fiqh Syafei disebutkan, bila dalam satu hari bertepatan dua hari raya, iaitu hari raya Aidil Fitri atau hari Raya Aidil Adha dengan hari Jumaat maka gugurlah tuntutan "wajib" sembahyang Jumaat, bila mereka telah mengerjakan sembahyang hari raya itu. Dalam hadis Rasulullah SAW disebutkan: "Dari Zaid bin Arqam ra. ia berkata: Pernah aku mengalami bersama Nabi SAW dua hari raya yang bertepatan, lalu disembahyangkannya hari raya itu, kemudian baginda memberi kelonggaran tentang sembahyang Jumaat, dengan mengatakan: "Siapa-siapa yang hendak sembahyang maka sembahyanglah".
(Riwayat Abu Daud dan Nasa'i) Keterangan lain ada pula mengatakan "Dari Abu Hurairah ra. dari Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya telah berkumpul pada hari mu ini dua hari raya, maka siapa yang menghendaki mencukupilah kepadanya sembahyang hari Raya ini sebagai ganti sembahyang Jumaat sedang kami terus juga mengerjakannya". (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) Dalam hadis itu diterangkan bahawa Rasulullah SAW terus juga berjumaat, tetapi tuntutan itu adalah tuntutan "sunat" bukan tuntutan wajib, sebab baginda bersabda: "Siapa yang menghendaki atau suka".

Keterangan lain menegaskan pula: Dari Atha' ra.ia berkata: "Pernah Ibnu Zubair solat hari raya pada hari Jumaat pagi-pagi hari, kemudian kami pergi ke Jumaat, maka tidaklah ia (Ibnu Zubair) keluar ke tempat kami, maka sembahyanglah kami sendiri-sendiri. Ketika itu Ibnu Abbas sedang di Taif. Setelah ia kembali maka kami beritahu hal itu kepadanya, maka ia menjawab "itu menurut sunnah". (Riwayat Abu Daud) Namun Imam Syafei juga berpendapat sembahyang Jumaat tidak gugur wajibnya, walaupun berkumpul pada hari itu salah satu dari dua hari raya, sebab yang diizinkan hanya orang yang jauh tinggal di kampung, bukan orang yang tinggal di kota yang dekat ke masjid.

Usman bin Affan dalam khutbahnya berkata: "Hai manusia! Sesunguhnya ini adalah suatu hari yang sesungguhnya telah berkumpul bagimu padanya dua hari raya, maka siapa-siapa yang ingin menunggu sembahyang Jumaat dari orang-orang kampung, maka boleh ia menunggu. Maka siapa-siapa yang ingin pulang, maka sudah aku izinkan baginya" (Riwayat Bukhari) Berdasarkan sumber dari Usman inilah Imam Syafei mengatakan bahawa tidak gugur wajib Jumaat. (Untuk lebih jelas sila rujuk Fiqh Syafii terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur) Dalam hadis yang lain, "Telah diriwayatkan kepada kami dari Ibrahim bin Muhammad, dari Ibrahim bin Utbah, dari Umar Abdil Aziz, ia berkata: Pernah bertemu dua hari raya dalam satu hari pada zaman Nabi SAW. Lalu baginda bersabda: "Barangsiapa dari penduduk bahagian atas kota Madinah suka untuk tinggal maka hendaklah ia tinggal tanpa ada keberatan."
Begitu juga dalam hadis yang lain, "Telah diriwayatkan oleh Malik bin Anas, dari Ibnu Syihab, dari Abu Ubaid, seorang bekas hamba Ibnu Azhar, ia berkata: Aku menghadiri solat Aidil Fitri dan Adha bersama Usman bin Affan kemudian ia datang, lalu ia berpaling, lalu berkhutbah, katanya: "Sesungguhnya pada hari raya kalian ini, bertemu dua hari raya untuk kalian. Barangsiapa di antara penduduk bahagian atas Madinah ingin menantikan solat Jumaat, maka silakan ia menantikannya, dan barangsiapa yang ingin kembali, maka hendaklah ia kembali, dan aku mengizinkannya."

Perlu kami jelaskan juga tentang hadis yang mengatakan bahawa hari Jumaat itu juga disebut dengan Hari Raya.
"Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda pada suatu hari Jumaat di antara beberapa hari Jumaat: "Hai sekalian kaum muslimin, sesungguhnya hari ini telah dijadikan Allah bagimu menjadi hari raya, sebab itu mandilah kamu, dan kamu biasakanlah bersugi (menggosok gigi)". (Riwayat Thabrani)





28. Suara Perempuan 'Sautul Mar'ah Aurah'
Soalan:
Apakah hukum suara perempuan menurut pendapat jumhur ulamak? Dan bagaimanakah kedudukan hadis Nabi SAW yang mengatakan 'Sautul Mar'ah Aurah'?
Athief, Taman Daya JB
Jawapan:
Islam melarang kaum wanita bercakap dengan suara lemah lembut dan manja kepada lelaki ajnabi sebab suara wanita itu tergolong aurat. Allah telah memerintahkan melalui firman-Nya supaya jangan berbicara dengan suara yang dimanja-manjakan dan dilembut-lembutkan kepada lelaki lain, kerana ia boleh menimbulkan keghairahan kepada kaum lelaki yang bermaksud tidak baik kepadanya.

Firman Allah SWT maksudnya: "Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucaplah perkataan yang baik". (Al Ahzab 32)
Jelaslah bahawa dalam Al Quran dengan tegas menjelaskan tentang kedudukan suara wanita ini.
Sila rujuk buku:
1. Muslimah Sejati DN 027





29. Bala 'Coxsackie' dan Jerebu

Soalan:
# 1. Apakah pandangan ustaz tentang malapetaka yang telah menimpa di negara kita terutama tentang coxsackie yang mana telah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan terbaru tentang jerebu yang telah melanda kita sekarang ini. Apakah tanda-tanda ini bahawa qiamat semakin hampir?
# 2. Keadaan persekitaran kita sekarang berubah, dulu dipenuhi dengan kehijauan sekarang disesakkan dengan kerakusan. Kita mengorek bukit untuk menjadikan tempat tinggal. Apakah segala bala menimpa kita berpunca dari sikap manusia yang telah melupakan Allah?
Shahrul Zamri ......
Jawapan:
1. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa dunia ini telah hampir akhir zaman bahkan baginda mengumpamakan
seperti seorang yang terlalu bongkok. Tentang fenomena alam yang terjadi dan penyakit-penyakit ganjil seperti
coxsackie ini juga diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda-tanda qiamat.
Rasulullah SAW bersabda: Dari Ibnu Umar Rasulullah bersabda; "Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)." (Riwayat Ibnu Majah)
2. Sesungguhnya segala kerosakan baik di darat mahupun di laut merupakan hasil perbuatan manusia sendiri. Firman
Allah SWT dalam surah Rum ayat 41, "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Perbuatan manusia mengorek bukit untuk keperluan mereka, itu juga merupakan tanda-tanda hari qiamat semakin
hampir, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW.: "Qiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat perkara-perkara yang besar yang belum pernah kamu lihat sebelum ini, dan sehingga bukit hilang dari tempatnya". (Riwayat Thabrani)
Sila rujuk buku:
1. Al Quran dan Sunnah serta Penemuan Moden DN 250





30. Berwudhu' dari Sumber Air yang Diguna Bersama Orang Bukan Islam
Soalan:
Adakah sah sembahyang sekiranya wudhu' yang kita ambil dari sebuah kolam yang digunakan sama oleh orang yang bukan Islam?
Rosli, Kajang
Jawapan:
Sembahyang dan wudhu' anda adalah sah seandainya air tersebut mencukupi syarat-syarat air mutlak iaitu air yang hukumnya suci lagi menyucikan seperti air hujan, air sungai, air laut, air mata air dan sepertinya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Furqan ayat 48 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari langit air yang suci lagi menyucikan". Air Mutlak adalah air yang tidak terkena najis. Ianya melebihi *dua kolah dan seandainya dua kolah tersebut walaupun terkena najis namun tidak merubah warna, rasa atau baunya. Menjawab persoalan saudara, tidak ada syarat yang mengatakan sumber air tersebut tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. *Ukuran air dua kolah adalah 60 x 60 sentimeter padu.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu Ain DN 034

No comments: