Wednesday, September 24, 2008

soalan-jawaban

41. Terlanjur Berdosa
Soalan:
Seorang teman pernah terlanjur. Namun dia tidak ingin terus menerus berbuat dosa. Apakah ada cara-cara tertentu atau doa-doa tertentu supaya lelaki tersebut mahu mengambilnya sebagai isteri yang sah?
Mumong, Brunei
Jawapan:
Langkah awal yang perlu ia lakukan sebelum berdoa agar Allah SWT mempertemukan jodoh dengan yang dihajati iaitu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat Nasuha atau taubat yang sebenarnya. Yang paling penting hentikan segala perbuatan dosa yang dilarang dan dikutuk oleh Allah, kerana perbuatan tersebut menutup segala hajat dan cita-cita kita. Dosa juga menyebabkan doa-doa kita terhalang dikabulkan Allah.

Jika kita telah bertaubat, ketika itu bermohonlah kepada Allah SWT agar dipertemukan jodoh dengan orang yang ditakdirkan-Nya. Jika Allah menghendaki dengan orang yang pernah melakukan dosa dengannya sebagai jodohnya, maka terimalah ketentuan Allah itu sebagai suatu takdir-Nya. Namun jika dipertemukan dengan orang lain, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah tentukan untuknya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Sila rujuk buku:
1. Taubat, Amalan dan Penghayatannya DN 186





42. Masalah Mahram dan Hubungan dengan Ipar
Soalan:
Istilah 'mahram sementara'. Bagaimanakah hubungan diantara suami dengan adik/kakak ipar perempuan dan isteri dengan adik/abang ipar lelaki dari segi aurat?
Man Sulong, KL
Jawapan:
Maksud muhrim adalah orang yang haram dinikahi. Tidak semua wanita halal dikahwini, tetapi hanya sebahagian sahaja yang halal dikahwini manakala sebahagian yang lain adalah haram dikahwini untuk selama-lamanya ataupun untuk sementara waktu sahaja. Wanita yang haram dikahwini secara garis besar dapat di bahagi dua: Pertama, yang haram dikahwini secara abadi. Kedua, wanita-wanita yang haram dikahwini kerana halangan sementara.

Haram dikahwini secara abadi ini ada tiga bahagian. (1) Kerana keturunan atau nasab. Perkara ini jelas seperti yang tercantum dalam surah An Nisaa ayat 23. Seperti; ibu (ke atas), anak perempuan (ke bawah), saudara perempuan (ke bawah), saudara perempuan ayah, saudara perempuan ibu, anak perempuan dari saudara lelaki dan perempuan dari saudara perempuan. (2) Kerana Mushaharah atau hubungan kekerabatan yang terjadi kerana perkahwinan, seperti; Emak mertua dan seterusnya, anak tiri yang telah dicampuri ibunya, menantu perempuan (ke bawah), ibu-ibu tiri. (3) Kerana penyusuan.

Wanita yang haram dikahwini kerana halangan sementara iaitu, wanita kafir, bekas isteri yang dicerai dengan talaq tiga, wanita yang sedang beriddah, isteri orang, wanita yang kelima dari isteri, wanita penzina, mengumpulkan antara wanita dengan mahramnya, wanita yang sedang ihram, hamba dan lain-lain. (lebih jelas sila rujuk Perkahwinan & Kekeluargaan Dalam Islam - Abdul Ghani Azmi Hj Idris terbitan Dinie Publishers) Mengenai hubungan dengan ipar, maka Rasulullah menyuruh kita berhati-hati, sebab hubungan mereka boleh menimbulkan fitnah dalam keluarga. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap ipar itu sebagai maut. Rasulullah SAW bersabda: Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda:
"Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita:. Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".Sabda baginda: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasa'i)
Sila rujuk buku:
1. 40 Peranan Suami Cemerlang DN 237




43. Berubat Dengan Bomoh
Soalan:
Saya mempunyai masalah di mana berkaitan dengan bomoh. Kisahnya bermula apabila keluarga saya disampuk iaitu meracau-racau. Bila dibawa berjumpa bomoh itu memberitahu si polan-polan itu yang melakukan kianat pada keluarga saya. Masalah saya adakah saya boleh mempercayai bomoh tersebut. Masalah ini sudah berlarutan terlalu lama dan ini merenggangkan hubungan kami sekeluarga. Buat pengetahuan ustaz bomoh ini menggunakkan ayat-ayat suci Al Quran dalam pengubatannya. Harap dapat kiranya ustaz menerangkan kepada saya cara pengubatan sebegitu.
Deen, Kuantan
Jawapan:
Di dalam Islam sememangnya ada ulama yang mengamalkan perubatan secara Islam iaitu dengan menggunakan ayat-ayat suci Al Quran sebagai penawar. Sebab Al Quran merupakan ubat dari segala penyakit, baik penyakit hati mahupun penyakit yang bersifat fizikal. Rasulullah SAW juga pernah mengubati seseorang dengan membaca salah satu surah dari Al Quran.

Di dalam Islam juga ada etika atau adab-adab dalam menyelesaikan suatu masalah, terutamanya masalah yang berkaitan dengan bomoh ini. Sesungguhnya berdosa jika kita membuka aib orang lain atau mengatakan sesuatu yang menimbulkan fitnah. Dengan menyebutkan seseorang itu telah melakukan khianat kepada kita membuktikan bahawa perkara tersebut telah membuka rahsia yang sepatutnya ia sembunyikan. Kalaupun perkara itu betul, ianya akan mendatangkan permusuhan apakah lagi jika perkara itu tidak benar, maka hanya mendatangkan buruk sangka terhadap seseorang. Sesungguhnya buruk sangka dan fitnah itu merupakan dosa besar

Kita boleh mempercayai bomoh, ustaz ataupun ahli perubatan lain jika kita tahu bahawa mereka tidak mensyirikkan Allah. Yang paling penting dalam berubat sesuatu penyakit adalah kita (setiap individu / pesakit) mesti yakin bahawa yang menyembuhkan penyakit itu bukan bomoh ataupun ustaz ataupun tabib (mereka semua adalah asbab), tetapi yang menyembuhkannya hanya Allah SWT semata. Yakin kepada selain dari Allah adalah syirik (dosa besar yang tiada pengampunan). Berubat hanyalah merupakan ikhtiar atau usaha yang disuruh oleh agama.





44. Maksud 'Istiqomah'

Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan istiqomah? Saya harap agar tuan dapat terangkan jenis istiqomah dan bagimana caranya hendak melakukan istiqomah?
Nawaf , Kajang
Jawapan:
Istiqomah ertinya teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang mampu bersikap istiqomah ini namun melaksanakan Islam untuk memperoleh hikmah secara mendalam sangat memerlukan sikap istiqomah. Istiqomah juga mengandungi erti kemantapan tetapi tidak bererti tidak boleh bergerak atau maju. Umpamanya semakin tinggi teknologi sebuah kereta semakin mampu ia bergerak dengan cepat tanpa gegaran. Maka disebut kereta itu memiliki istiqomah atau kekuatan. Kereta itu mantap dan tidak bergegar bukan ketika ia berhenti tetapi ketika ia bergerak laju.

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus (istiqomah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak". (Al Jin 16) Istiqomah juga berkaitan dengan kemampuan kita dalam berjuang untuk menghadapi ujian dan penderitaan, kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar pula cubaan yang harus dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderitaan itu jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah. Banyak contoh dalam kehidupan insan teladan masa silam tentang istiqomah ini. Diantaranya Nabi Adam tetap istiqomah dalam beriman kepada Allah meskipun baginda menerima cubaan dan penderitaan setelah dicampakkan ke bumi. Begitu juga Nabi Ibrahim tetap teguh dengan pendiriannya (iman yang teguh) walaupun dicampakkan ke dalam unggun api yang membara.
Sila rujuk buku:
1. Penawar Jiwa DN 049





45. Persoalan 'Mazhab'
Soalan:
Ustaz, saya mempunyai seorang teman sekerja yang menyatakan bahawa mengambil mazhab itu tidak ada dalam Islam. Hujahnya ialah, nabi dan sahabat-sahabatnya tidak pernah mengambil mazhab, apalagi memerintahkannya.
Soalan saya ialah :-
1. Apakah hukumnya seseorang yang tidak mengambil mazhab ?
2. Tolong terangkan sedikit bagaimana mazhab itu terjadi ?
3. Apakah mazhab itu termasuk bid'ah hasanah ?
Jasmi ,Singapura
Jawapan:
Pada zaman Rasulullah SAW baginda menerima langsung ajaran Islam daripada Allah SWT. Ajaran yang dibawa baginda jelas murni dan tidak ada cacat cela sedikitpun. Kemudian para sahabat menerima Islam langsung daripada Rasulullah kekasih Allah. Begitu juga pada zaman Khulafa ur Rasyidin ajaran Islam masih segar di hati umat Islam. Pada zaman tabi'in, para ulama memperoleh pengetahuan melalui para sahabat dan begitu juga para ulama tabi' tabi'in memperoleh pengetahuan Islam melalui ulama tabi'in. Begitulah proses perkembangan ajaran Islam hingga sampai sekarang.

Perlu kita ketahui bahawa ilmu fiqh yang diajarkan para sahabat dan para tabi'in tidak beku bahkan berkembang terus. Jika tidak dijumpai nas dalam menyelesaikan sesuatu perkara mereka menetapkan berdasarkan ilmu pengetahuan tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab (illat) sewaktu hendak memberikan fatwa-fatwa. Untuk kita ketahui pendapat tabi'in bermacam-macam ini adalah disebabkan berlainan tempat atau keadaan negeri masing-masing, disamping mempunyai kekurangan dan kelebihan tentang memahami maksud-maksud Al Quran dan Hadis. Hasil dari berlainan keadaan atau situasi ini maka tiap-tiap orang alim ilmu fiqh dari golongan tabi'in mempunyai beberapa pendapat yang berlainan dan inilah yang dinamakan mazhab.

Dizaman sekarang nama imam-imam yang empat telah terkenal dan masyhur. Mereka adalah bagaikan bulan purnama yang dikelilingi oleh beberapa bintang-bintang yang berkelipan. Semua mazhab yang empat ini beraqidahkan ahlisunnah waljamaah. Ertinya sumber ajaran yang diterapkan tidak lari dari ketentuan Al Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah.

Jelaslah bagi kita bagaimana proses mazhab itu terjadi, jadi jika kita tidak mengikuti atau berpegang salah satu jalan maka kita akan teraba-raba dalam mencari kebenaran, akhirnya kita menjadi sesat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Para ulama adalah pewaris nabi".
(Riwayat Ibnu Najar dari Anas ra.) Sabda baginda yang lain maksudnya: "Para ulama adalah pelita di bumi, pengganti yang mengganti para nabi, pewarisku dan pewaris para nabi". (Riwayat Ibn Adi daripada Ali ra). Jika para ulama yang telah disebutkan baginda tersebut mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah SAW, tentu tidak layak kita mengatakan mengikuti ulama mazhab adalah bid'ah. Bahkan jelas dari hadis diatas menunjukkan mengikuti para ulama itu merupakan sunnah.
Sila rujuk buku:
1. Ulama Pewaris Nabi DN 267




46. Ikut Meraikan Perayaan Agama Lain

Soalan:
Bagaimanakah pandangan Islam mengenai seseorang muslim yang menziarahi saudaranya yang bukan muslim, ketika sesuatu perayaan? Bagaimanakah dengan juadah yang di hidangkan bolehkah dimakan, walaupun berupa kacang goreng yang dimasak sendiri olehnya (bukan islam)?
Mat Najib, Kajang
Jawapan:
Agama Islam adalah agama yang menjaga hubungan antara umat manusia di dunia ini. Disamping menganjurkan agar menjalinkan hubungan silaturrahim antara kaum kerabat dan kaum muslimin seluruhnya juga dianjurkan dalam membina hubungan dengan orang yang beragama lain. Dalam surah An Nisaa ayat 36 dijelaskan maksudnya: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh....".

Maksud tetangga yang dekat iaitu tempat tinggalnya berdekatan ataupun tetangga yang masih ada hubungan kerabat atau nasab ataupun sama-sama beragama Islam. Sedangkan tetangga jauh maksudnya adalah tetangga yang tidak mempunyai hubungan kerabat, jauh tempatnya atau berlainan nasab mahupun agama. Jadi dengan tegas Allah menyuruh kita menghormati tetangga baik sesama muslim mahupun yang bukan muslim (kafir).

Dalam hadis yang diriwayatkan Al Bazza sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Tetangga itu ada tiga macam. Tetangga yang mempunyai satu hak iaitu tetangga yang terdekat haknya. Tetangga yang mempunyai dua hak dan tetangga yang mempunyai tiga hak iaitu tetangga yang paling utama haknya. Tetangga yang mempunyai satu hak adalah tetangga musyrik yang bukan kerabatnya. Ia hanya mempunyai hak sebagai tetangga. Tetangga yang mempunyai dua hak adalah tetangga muslim iaitu yang mempunyai hak sebagai orang Islam dan hak sebagai tetangga. Sedangkan yang mempunyai tiga hak adalah tetangga muslim yang masih ada hubungan keluarga, dia mempunyai hak sebagai tetangga, hak sebagai orang Islam dan hak sebagai keluarga".

Menurut Imam Al Qurthubi; "Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap orang muslim ataupun kafir. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman". Bahkan dalam hadis Rasulullah juga ditegaskan tidak beriman seseorang itu jika ia mengganggu tetangganya. Begitu indah ajaran Islam dalam menjalinkan hubungan antara sesama manusia di dunia ini. Tidak kiralah apakah mereka tergolong orang-orang muslim ataupun orang-orang kafir.

Diriwayatkan juga bahawa Abdullah bin Umar menyembelih kambing. Ketika Ibnu Umar datang ia berkata: "Berikanlah sebahagian kepada tetangga kita orang Yahudi" diucapkannya tiga kali. "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Jibril selalu berwasiat kepadaku mengenai tetangga hingga aku mengira ia akan mewariskannya". Begitu jelas bahawa ajaran Islam menghormati dan menghargai setiap insan, maka tidak benar anggapan yang mengatakan bahawa Islam tidak menghormati hak orang yang bukan Islam.
Khusus berkaitan dengan meraikan perayaan agama lain maka dalam hal ini kami kemukakan dalil-dalil atau nas-nas Al Quran yang jelas.

1. Sesungguhnya umat Islam dibolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam masalah-masalah yang berhubungan dengan masalah keduniaan.
(Sila rujuk surah Al Hujarat ayat 13, Surah Luqman ayat 15, Surah Mumtahanah ayat 8)

2. Umat Islam tidak dibolehkan mencampuradukkan ajaran agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain. (Sila rujuk Surah Al Kafirun ayat 1 - 6, Surah Al Baqarah ayat 42)

3. Umat Islam harus menyedari bahawa agama-agama masa silam yang mempunyai kitab mereka telah sesat dan ingkar dengan perintah Allah, apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai kitab maka bertambalah kesesatanya. (Sila rujuk Surah Al Maidadh ayat 72, Surah Al Maidah ayat 73, Surah At Taubah ayat 30) Jelaslah bagi kita bahawa meraikan perayaan agama lain sama dengan mencampuradukkan ajaran Islam dengan aqidah agama lain. Sedangkan Islam melarang kita untuk sama-sama meraikan perayaan keagamaan tapi menganjurkan berbuat baik dan saling tolong menolong dengan mereka dalam masalah keduniaan. Sesungguhnya mengikuti, meraikan dan sama-sama menyertai mereka menyambut perayaan keagamaan mereka hukumnya adalah HARAM.




47. Makhraj atau Sebutan Nama Allah
Soalan:
Seorang rakan saya adalah seorang muslim, sejak dilahirkan dia seolah-olah pelat untuk menyebut nama Allah. Saya harap tuan dapat jawab dan rumuskan perkara ini.
Nawaf, Kajang
Jawapan:
Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk, yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani. Didalam beribadah kepada Allah, kedua-dua unsur ini sangat berperanan sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu dengan yang lainnya. Kiblat hati ataupun rohani hanya kita tujukan kepada Allah semata, begitu juga kiblat jasmani atau fizikal ditentukan dengan budi pekerti atau perangi yang mulia.

Dalam beribadah, bacaan yang baik merupakan perkara yang mustahak untuk menentukan sebutan yang benar sehingga tidak merubah makna bacaan kita tersebut. Namun jika proses sebutan itu menjadi berubah kerana pelat, maka ia tidak dihukum bersalah atau berdosa kerana pelat itu sendiri merupakan anugerah Allah untuknya. Dalam sejarah dapat kita baca riwayat tentang Nabi Musa as. yang merupakan seorang nabi yang gagap atau pelat, sehingga Allah mengangkat saudaranya Harun as. sebagai pembantunya dalam berdakwah dan menyeru kaumnya ke jalan yang benar.




48. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua

Soalan:
Apakah hukum seseorang yang tidak menghormati orang yang tua daripadanya seperti, ayah, ibu, abang atau kakaknya sendiri?
Hamba Allah
Jawapan:
Bagi orang yang tidak menghormati kedua ibu bapanya maka hukumnya berdosa besar. Begitu juga jika tidak menghormati orang lebih tua daripada kita, baik tua dari segi usia mahupun tua atau matang dari segi ilmu pengetahuan. Di dalam Islam orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya termasuk ke dalam kategori dosa besar setelah mensyirikkan Allah, dan akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23) Orang yang tidak menghormati ibu bapa akan dilaknat oleh Allah SWT. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya".
(Riwayat Ad Dailami daripada Umar ra)
Sila rujuk buku:
1. 40 Peranan Anak Mithali DN 242
2. Wanita Solehah DN 148


49. Sombong Terhadap Orang Arif dan Lebih Tua
Soalan:
Apakah hukum seseorang yang sombong dan bongkak terhadap orang yang lebih arif dan tua
daripadanya?
Hamba Allah
Jawapan:
Menghormati orang yang lebih arif merupakan tanggungjawab setiap idividu kerana Rasulullah SAW sangat mencintai orang yang menghargai ilmu, sebagaimana baginda menyayangi saidina Ali Karamallahu wajhahu yang merupakan babul ilmi atau gedung ilmu pada zamannya. Bahkan Saidina Ali ra. sendiri pernah berkata : "Orang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat (sunat) dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapatlah suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya atau orang yang berilmu juga".

Begitu juga tentang sifat sombong merupakan sifat yang paling dibenci oleh Allah SWT jika para hamba-Nya memilikinya. Kerana yang berhak memiliki kesombongan itu hanya Allah, sebab Dialah Yang Maha Kuasa. Sifat sombong juga menyebabkan seseorang terhalang untuk dimasukkan ke dalam syurga di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa kelak pada hari kiamat ia suci dari tiga perkara, maka ia akan masuk syurga, iaitu dari sikap sombong, rasuah dan hutang". (Riwayat Tirmizi) Bertawadhuklah serta merendahkan diri kepada Allah, agar kita tidak menyombongkan diri dalam segala hal. Dengan demikian kita akan tergolong insan yang diredhai-Nya. Insya Allah.
Sila rujuk buku:
1. 170 Amalan Yang Ditolak DN 261





50. Lagak Pandai tetapi Bodoh
Soalan:
Apakah hukum orang yang suka cakap besar dan tinggi padahal dia tidak tahu apa-apa?
Hamba Allah
Jawapan:
Rasulullah SAW berjalan melalui sekelompok sahabat yang sedang berkumpul. Baginda bertanya; "Mengapa kamu berkumpul di sini ?" Sahabat menjawab: "Ya Rasulullah disini ada orang gila yang sedang mengamuk, sebab itu kami berkumpul di sini". Kemudian baginda bersabda: "Orang ini bukan gila, ia sedang mendapat musibah. Tahukah kamu, siapakah orang gila yang sebenar ?". Para sahabat menjawab: "Tidak ya Rasulullah". Baginda menjelaskan; orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur atau sombong, yang memandang orang lain dengan pandangan yang merendahkan, yang membusungkan dada, berharap syurga Tuhan sambil berbuat maksiat, kejahatannya membuat orang terganggu. Adapun orang ini dia hanya sedang mendapat musibah".

Begitu hina orang yang sombong tapi bodoh di sisi Rasulullah SAW sehingga baginda menganggapnya sebagai orang gila. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi dari takbur (sombong). Dan tidak akan masuk neraka orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari iman". (Riwayat Muslim)
Sila rujuk buku:
1. 40 Akhlaq Yang Mengubah Dunia DN 219

No comments: