Wednesday, September 24, 2008

soalan-jawaban

31. Tidak Mempercayai Imam Mahdi dan Dajjal
Soalan:
Apakah hukumnya jika seseorang itu sukar untuk mempercayai atau mempercayai wujudnya Dajjal dan Imam Mahdi kelak ?
Jaffa, Singapura
Jawapan:
Ramai dikalangan ulamak muktabar mempercayai lebih kurang 50 buah hadis tentang kedatangan Imam Mahdi. Diantaranya Syekh Sya'rawi mengatakan "Imam Mahdi yang dijanjikan Rasulullah SAW akan datang di akhir zaman
itu benar akan terjadi. Dia akan dibai'at orang secara serentak dan bukan dia yang meminta orang supaya membai'at dirinya. Tentu kita akan bertanya pula mengapa orang yang hidup pada zaman itu, yang jauh dari ajaran Islam, secara tiba-tiba dan secara serentak membai'atnya?. Ini tentunya dari sikap yang terpuji yang ditunjukkannya. Ilmunya mendalam, kelakuannya baik dan berjuang menegakkan agama Islam dengan ikhlas, maka orangpun tertarik dengan perjuangannya".

Menurut Abul A'la al Maududi, bahawa seluruh jumhur ulama telah sependapat bahawa Imam Mahdi itu benar akan datang. Namun demikian ulama tidak sependapat menentukan orangnya. Maksudnya kata sebahagian ulama siapa yang betul-betul bersifat seperti yang dijanjikan Rasulullah itu, maka itulah Imam Mahdi".

Dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Belum lagi terjadi kiamat sebelum muncul Imam Mahdi dari anak cucuku juga. Dan Mahdi itu pun belum datang sebelum munculnya enam puluh orang pembohong, yang masing-masing mereka mengakui dirinya sebagai nabi".

Jika anda sukar untuk mempercayai sesuatu yang telah di khabarkan dan telah diterangkan oleh Rasulullah SAW, maka berusahalah untuk membersihkan jiwa dengan memegang teguh ajaran yang dibawa oleh baginda. Jangan mudah dibawa oleh arus pemikiran yang memutarbalikkan minda umat Islam. Maka hukumnya berdosa jika tidak mempercayai sesuatu yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Sila rujuk buku:
1. Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal & Nabi Isa as. DN 189



32. Masa Mengqadha' Solat
Soalan:
Bilakah tepat masanya yang sesuai untuk kita mengqadha' solat fardhu ?
Jaffa, Singapura
Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqadha' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Orang yang pingsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.

Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha'. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha' dan jika diqadha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".

Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.





33. Solat Dalam Keadaan Lumpuh

Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk seseorang itu bersolat sambil duduk jika ia mengalami lumpuh di bahagian bawah anggota badannnya?
Mohamed Ommar, Singapura
Jawapan:
Sebagaimana kita ketahui bahawa ibadah solat merupakan ibadah utama dalam Islam, ia merupakan salah satu rukun Islam dan juga merupakan tiang agama. Oleh sebab itu ibadah solat tidak boleh ditinggalkan oleh orang Islam walau dalam keadaan bagaimanapun. Walaupun begitu Islam memberikan rukhsah atau kelonggaran kepada pemeluknya dalam keadaan tertentu seperti dalam peperangan, musafir dan dalam keadaan sakit.

Mengenai solat dalam keadaan sakit dalam sebuah hadis ada dijelaskan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Dari Ali bin Abi Thalib, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Orang yang sakit hendaklah mendirikan solat sambil berdiri jika kuasa dia melakukannya. Jika tidak kuasa bolehlah dia solat sambil duduk, jika tidak berdaya untuk sujud, diisyaratkannya saja dengan kepalanya sehingga dia menjadi sujudnya lebih rendah daripada rukuknya. Jika dia tidak kuasa solat sambil duduk, bolehlah dia solat sambil berbaring di rusuk kanannya dan mengadap ke kiblat. Jika tidak kuasa untuk solat sambil berbaring di rusuk kanannya, bolehlah dia solat sambil menelentang dengan menghalakan kedua-dua kakinya ke kiblat".
Melalui hadis di atas jelaslah bahawa solat sambil duduk dapat dikerjakan menurut kemampuan fizikal kita, cuma bezakan antara sujud dan rukuk dengan melebihkan membungkuk pada ketika rukuk.
Sila rujuk buku:
1. "Bimbingan Lengkap Ibadah Solat". DN 200





34. Membaca Jahar (kuat) dan Sir (perlahan) dalam Solat
Soalan:
Mengapakah dalam solat berjamaah hanya waktu zohor dan asar sahaja makmum kena membaca surah sendiri, sedangkan tiga waktu yang lain itu makmum hanya membaca fatihah saja?
RBJ , Temerloh
Jawapan:
Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)

Kemudian baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda: "Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".

Menurut Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda: "Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)

Mendengar bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya" (Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".
(Sila rujuk "Contoh Solat Nabi": Karya Muhammad Nasyiruddin Albani)





35. Membaca Ayat Al-Quran Tanpa Wudhu'
Soalan:
Apakah menjadi kesalahan (berdosa) membaca ayat-ayat suci sewaktu kita tiada wudhu' umpamanya ketika hendak tidur atau terjaga dari tidur ?
ADI PUTRA , PJ
Jawapan:
Berzikir menyebut nama Allah atau istighfar dan doa-doa baik ketika ingin tidur atau bangun tidur disunatkan mengambil wudhu', jika tidak berwudhu' tidaklah berdosa. Sesuai dengan hadis yang disampaikan oleh Aisyah yang bermaksud: "Rasulullah (SAW) selalu zikir kepada Allah pada setiap saat".

Menurut Jumhur ulama diharamkan bagi orang yang junub membaca sesuatu dari ayat-ayat Al-Quran, ini berdasarkan hadis daripada Ali ra. "Bahawa Rasulullah (SAW) tidak satupun yang menghalanginya dari Al-Quran kecuali janabat" (Riwayat Ash Habus Sunan disahkan oleh Tirmizi)
Sedangkan menurut sebahagian ulama seperti Bukhari, Thabrani, Abu Daud dan Ibnu Hazmin berpendapat dibolehkannya membaca Al-Quran bagi orang yang junub.




36. Termakan Makanan Haram
Soalan:
Apakah hukumnya apabila kita makan makanan yang haram atau shubhat secara tidak senaja?
M. Rahmat , JB
Jawapan:
Adalah tidak berdosa jika kita memakan sesuatu tanpa menyedari bahawa ia adalah haram, kerana Allah sekali-kali tidak mahu membebankan hamba-Nya atau menyeksanya bagi orang yang tersilap atau terlupa. Sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW: "Sesungguhnya umatku tidak akan ditulis kesalahannya hanya kerana terlupa atau tersilap". Namun begitu kita tetap dituntut untuk sentiasa dalam keadaan berhati-hati dalam menikmati makanan, kerana makanan yang mengandungi benda yang haram atau cara memperolehnya dengan cara yang haram dapat menutup pintu hati.




37. Terhidu Etanol
Soalan:
Saya bekerja di Makmal, selalu menggunakan etanol dalam membuat analisis seharian, etanol ini khas digunakan untuk kerja-kerja makmal, ianya tidak sesuai untuk membuat arak, sekiranya terminum boleh membawa maut. Apakah hukum sekiranya saya terhidu atau tersentuh etanol tersebut, sedangkan ianya bukanlah bahan kimia yang memabukkan?
Abe, P.J.
Jawapan:
Jika bahan kimia atau etanol yang digunakan untuk membuat analisis seharian di makmal itu bukan sejenis alkohol yang digunakan dalam minuman yang memabukkan maka tersentuh ataupun terhidu tidaklah berdosa. Mungkin lebih sesuai ia dikategorikan dengan racun. Walaupun begitu jika terhidunya sering terjadi sehingga menimbulkan mudarat pada tubuh maka ia tergolong mengabaikan kesihatan diri sendiri, kerana sesungguhnya di dalam Islam dituntut kepada umatnya agar menjaga kesihatan supaya dapat beribadah kepada Allah dengan cara yang lebih selesa. Untuk itu gunakanlah alat untuk melindungi diri dari bahaya bahan kimia atau racun ini.




38. Ubatan yang Mengandungi Bahan Kimia

Soalan:
Apakah hukum, sekiranya menggunakan minyak wangi, minyak urut (metalsalicylate) atau ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia alkohol selain dari etanol (alkohol yang terdapat dalam arak), contohnya etana, pentanol, spirit dll.?
Ayob, KIMIA, P.J.
Jawapan:
Menggunakan bahan kimia yang bukan tergolong alkohol yang memabukkan (seperti yang terdapat dalam arak) untuk minyak urut ataupun minyak wangi tidaklah berdosa dan hukumnya harus.




39. Menuduh Orang Lain Kafir atau Munafiq

Soalan:
Apakah hukumnya jika kita menuduh seseorang itu kafir atau munafiq?
M. Rahmat , JB
Jawapan:
Menuduh orang Islam kafir ataupun munafiq tanpa asas, maka berdosa. Namun jika orang tersebut jelas memiliki tanda-tanda kafir atau munafiq, berusahalah untuk berdakwah kepadanya menurut kemampuan masing-masing. Tanda-tanda orang kafir iaitu, suka memecah belah antara Allah dan Rasul-Nya, kafir kepada Allah dan Rasul-Nya, iman kepada sebahagian perintah Allah tetapi juga menolak sebahagian perintah Allah, suka berperang di jalan syaitan (thaghut), mengatakan nabi Isa anak Tuhan, agama dibuat gurau senda atau permainan, lebih menyukai kehidupan duniawi, mengingkari adanya hari berbangkit, menghalang manusia ke jalan Allah SWT. (Rujuk Al-Quran surah Muhammad ayat 1 hingga 2)
Kemudian tanda-tanda orang munafiq iaitu sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu mengingkari, apabila ia diberi amanah ia khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika tanda-tanda ini terdapat pada seseorang maka mereka tergolong orang munafiq ataupun orang kafir, namun janganlah menuduh orang Islam sebagai kafir atau munafiq di hadapannya, kerana perkara ini dapat mengguris hati mereka. Namun ajaklah mereka ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Rasulullah SAW tidak pernah menuduh seseorang itu munafiq dihadapnnya walaupun baginda sendiri mengetahui bahawa orang itu tergolong orang munafiq. (Sila rujuk kisah Abdullah Bin Ubay)


40. Dua Imam Satu Surau
Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang dua imam (dua kumpulan makmum) dalam satu surau yang hanya dipisahkan oleh dinding, seandainya sembahyang tersebut ialah sembahyang fardhu yang dilakukan serentak?
Azman, Kuala Lumpur
Jawapan:
Mengerjakan solat dengan dua imam dalam satu surau dalam masa yang sama hukumnya tidak boleh. Dalam masalah ini kami kemukakan tentang imam tetap dalam satu masjid. Jika satu jamaah hadir disuatu masjid yang mempunyai imam tetap tetapi pada masa itu ia tidak hadir, maka diperintahkan kepada mereka menghantarkan utusan menjemput ia hadir. Tetapi jika bimbang luput waktu solat, maka dibolehkan seorang yang lain tampil menjadi imam. Kata Imam Nawawi, jika dibimbangkan timbul fitnah hendaklah mereka solat bersendirian dan diistihbabkan kepada mereka mengulangi solat bersama imam itu jika ia hadir. Jadi jelaslah jika tidak hadir saja imam tetap disuruh solat sendirian jika khuatir menimbulkan fitnah apakah lagi dengan sengaja membuat jemaah sendiri di belakang atau di sebelah imam yang sedang solat.

Seandainya kita orang yang datang kemudian, sedangkan di dalam surau atau masjid tersebut ada dua imam yang sedang berjemaah, maka dalam hal ini ada beberapa pendapat. Jika makmum dapati dua orang imam masing-masing sedang solat dengan jemaahnya, maka ikutilah imam yang tetap. Namun jika keduanya tidak termasuk imam yang tetap dan masing-masing sebaya dan memiliki ciri-ciri imam yang dikehendaki, cuma perbezaannya yang satu cepat bacaannya sedangkan yang satu lagi lambat. Menurut Al Faurani dalam kitab Al Ibanah "Hendaklah dilihat kepada makmum itu sendiri. Jika ia seorang yang lambat membaca maka hendaklah ia mengikut imam yang lambat membaca. Sebaliknya jika ia cepat membaca maka hendaklah ia mengikuti imam yang cepat membaca".

Imam Al Tarmizi telah menjelaskan dalam Al Sunah iaitu diistihbabkan kepada imam bertasbih enam kali dalam rukuk dan sujud supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali". Kemudian menurut Imam Syafi'e dalam kitab Al-Umm "Pada hemah saya eloklah setiap masa bagi imam menambahkan tasyahud, tasbih dan bacaan surah sekadar yang dilihatnya boleh memberi kesempatan kepada makmum yang berat lidahnya menyempurnakan bacaannya yang perlu dibaca olehnya."

No comments: